GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Junaidi Ladjana


PEKERJA ladang warga Filipina ditemui mati dengan kesan luka empat sentimeter di belakang badannya dipercayai ditikam dengan objek tajam di rumah kongsi di ladang Kampung Waluhu, Ranau, malam tadi.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, mayat Gordon Batangan, 30-an, ditemui tertiarap di bahagian pintu dapur dan terdapat kerusi kayu di atas kepalanya.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai bergaduh di kawasan rumah kongsi dengan seorang lagi lelaki Filipina dikenali sebagai Benjamin disebabkan perselisihan faham sebelum dileraikan.

"Selepas itu, mangsa datang ke rumah suspek dan berlaku lagi pergaduhan sebelum mangsa ditemui mati di bahagian dapur rumah suspek.

"Mangsa parah di bahagian belakang badan dipercayai ditikam objek tajam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Farhan berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Ranau dan dipercayai meninggal dunia 3 hingga 4 jam lalu.

"Punca sebenar perselisihan fahan masih disiasat kerana semua pekerja melarikan diri ketika pergaduhan itu berlaku.

"Usaha menjejaki suspek berusia 30 tahun giat dilakukan," katanya.

Tambah Mohd Lee, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Difahamkan, mangsa bekerja sebagai penombak buah sawit di ladang berkenaan sejak setahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 5:07 PM