Mohamad Zulhairie Manzaidi


Tumpat: “Semalam (kelmarin), suami beritahu dia letih, tapi saya tidak sangka dia kini ‘berehat’ untuk selama-lamanya,” kata Winney Suley Buan, 33, isteri mendiang Koperal I Suresh, 36, yang maut dirempuh lori di Kilometer 139, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Teluk Kalong, Chukai, jam 2.55 petang kelmarin.

Dalam kejadian itu mendiang yang juga anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, maut bersama rakan setugas, Sarjan Mejar Abdul Hakim Samingan, 54, selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh lori ketika mengikuti konvoi latihan menunggang jarak jauh motosikal berkuasa tinggi.

Winney berkata, sebelum kejadian, suaminya menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang memberitahu merinduinya selain mahu dia mengambilnya di IPD (IPD) Dungun untuk pulang ke Tumpat.

“Dia minta ambil dia di tempat kerja kerana beritahu letih (berkursus) namun saya tidak dapat berbuat demikian. Dia juga beritahu rindu saya dan tiga anak kami berusia tiga hingga tujuh tahun.

“Walaupun saya pelik dengan mesej begitu, saya tetap melayani. Saya tidak sangka dia berehat (meninggal dunia) untuk selama-lamanya,” katanya di Wat Cheng Buddhavas, Kampung Terbak, semalam

Menurut Winney, dia terkilan apabila rancangannya bersama mendiang untuk pulang ke kampung halamannya di Sarawak, tidak menjadi kenyataan susulan tragedi itu.

Katanya, mereka sudah lama merancang balik ke negeri kelahirannya dan kini pulang hanya berteman anak.

“Dia suami penyayang, malah rapat dengan anak. Kami pasti merinduinya,” katanya.

Sementara itu, abang mendiang, I Anand, 37, berkata, kehilangan adik ketiga daripada empat beradik itu sangat dirasai.

“Antara kami, dia paling nakal kerana suka menyakat dan jika berkumpul, Suresh selalu merancang mengadakan BBQ.

“Dia suka paprik belut dan setiap kali pulang ke kampung di Gelam Kechik, Tumpat, menu itu dicarinya. Kami sedih dia hilang tiba-tiba,” katanya.

Terdahulu, suasana sedih menyelubungi kuil itu apabila ahli keluarga dan kenalan mendiang hadir memberikan penghormatan terakhir. Upacara membakar mayat disempurnakan di Wat Phikulthong, Kampung Terbak, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 8:07 AM