ZARINA (dua dari kanan) bersama kenalannya tiba di Hospital Kemaman. Gambar bawah, Winney (kanan) ketika menunggu proses bedah siasat mendiang suaminya selesai Unit Forensik Hospital Kemaman. FOTO Rosli Ilham
ZARINA (dua dari kanan) bersama kenalannya tiba di Hospital Kemaman. Gambar bawah, Winney (kanan) ketika menunggu proses bedah siasat mendiang suaminya selesai Unit Forensik Hospital Kemaman. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


“SUAMI ada hubungi saya memaklumkan dia akan sampai ke rumah dalam masa satu jam dan ketika itu dia juga beritahu berasa sangat letih sepanjang mengikuti latihan itu," kata Zarina Abdul Rahman, 37, isteri Sarjan Mejar Abdul Hakim Samingan, 54, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 139 Jalan Kuala Terengganu -Kuantan dekat Teluk Kalong di Chukai, hari ini.

Selain Abdul Hakim yang juga anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, turut maut dalam kemalangan pada 2.55 petang itu ialah rakan setugasnya, Koperal I Suresh, 36.

Zarina berkata, suaminya menyertai latihan menunggang jarak jauh motosikal berkuasa tinggi itu sejak Selasa lalu dan ketika kejadian suaminya itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Rajawali di Pulau Serai, Dungun.

"Dia hubungi saya pada 1.30 petang ketika berada di Sungai Ular, Kuantan dan saya memintanya menunggang dengan berhati-hati. Dia juga memaklumkan kena bertugas esok di Arena Merdeka, Dungun sebagai persiapan menyambut kehadiran Timbalan Perdana Menteri yang akan merasmikan satu program besar di situ pada Sabtu," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman.

Menurutnya, dia kemudiannya minta suaminya segera pulang ke rumah untuk berehat kerana bimbangkan Abdul Hakim yang mengidap penyakit kencing manis.

Katanya, dia dimaklumkan mengenai kejadian menimpa suaminya itu kira-kira 3 petang sebelum bergegas ke Hospital Kemaman.

"Hasil perkahwinan saya dengan arwah, kami dikurniakan tiga cahaya mata berusia tiga hingga sembilan tahun.

"Arwah yang pernah berkahwin sebelum bernikah dengan saya, mempunyai empat anak berusia 18 hingga 31 tahun," katanya.

Dalam kejadian itu, dua anggota trafik berkenaan bersama tujuh pegawai dan 18 anggota lain menjalani latihan konvoi terbabit dari Mersing, Johor.

Tibanya di tempat kejadian, sebuah lori dipercayai memasuki laluan konvoi terbabit lalu merempuh dua motosikal jenis Honda CBX750 yang ditunggang kedua-dua mangsa.

Rempuhan berkenaan menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, isteri kepada Suresh, Winney Suley Buan, 33, berkata, mendiang suaminya kerap menghantar WhatsApp dan memaklumkan merindukannya.

"Saya agak pelik dengan tindakannya itu kerana sebelum ini walaupun pernah berkursus lama tetapi tidak menghantar pesanan begitu, " katanya.

Menurutnya, mesej rindu terakhir yang dihantar ketika suaminya berhenti makan di Sungai Ular dan dua jam kemudian dia menerima berita sedih itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.

"Kita juga menahan pemandu dan kelindan lori berkenaan untuk siasatan lanjut serta menjalani ujian saringan air kencing, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Jenazah Abdul Hakim akan dikebumikan di Kampung Seberang Pintasan, Dungun manakala mendiang Suresh pula dibawa pulang ke kampungnya di Kampung Gelam Kecik di Tumpat, Kelantan.

Berita berkaitan

2 anggota polis maut

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 9:27 PM