Winney sedih bila Natalia sering bertanya bila ayahnya yang maut dalam kemalangan akan pulang. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Winney sedih bila Natalia sering bertanya bila ayahnya yang maut dalam kemalangan akan pulang. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi


"MUMMY kita duduk lama rumah nenek macam mana 'daddy' nak masuk rumah?". Itu yang sentiasa diucapkan oleh Natalia Vallerie, 3, anak bongsu mendiang Koperal I Suresh, 36, yang meninggal dunia akibat kemalangan ketika bertugas.

Dalam kejadian kemalangan 12 Oktober lalu, I Suresh bersama rakan setugasnya, Sarjan Mejar Abdul Hakim Samingan, 54, anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun maut selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah lori di Kilometer 139, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Teluk Kalung, Chukai.

Menurut isterinya, Winney Suley Buan, 33, selepas kejadian itu, anak bongsunya sentiasa bertanya bila dan macam mana ayahnya akan pulang ke rumah di Dungun, Terengganu sedangkan mereka masih di Tumpat.

Katanya, dia sudah buntu untuk memberi alasan kepada anak bongsu daripada tiga beradik itu.

"Natalia sentiasa tanya bila ayahnya akan pulang dan setiap kali itu, saya berasa sedih bila mengenangkan kejadian menimpa kami sekeluarga.

"Mendiang tidak pernah sehari pun luput dalam ingatan saya kerana banyak kenangan manis yang dikecapi sepanjang dia hidup," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, di rumahnya di Kampung Gelam Kechik, Tumpat, hari ini.

Zulkifli (tiga kiri) beramah mesra dengan anak mendiang I Suresh, di rumahnya di Kampung Gelam Kechik, Tumpat, hari ini.Foto Nik Abdullah Nik Omar
Zulkifli (tiga kiri) beramah mesra dengan anak mendiang I Suresh, di rumahnya di Kampung Gelam Kechik, Tumpat, hari ini.Foto Nik Abdullah Nik Omar

Winniey berkata, hampir sebulan pemergian mendiang suaminya, kehidupan hariannya bersama anak cukup terkesan.

Katanya, perbelanjaan hariannya kini bergantung kepada duit simpanan mereka.

"Saya cuma berharap pencen mendiang dapat dipercepatkan kerana anak sulung dan kedua berusia tujuh dan enam tahun masih bersekolah.

"Buat masa ini saya tinggal dengan mentua dan masa depan kami anak beranak masih belum difikirkan sama ada akan pulang ke kampung halaman saya di Sibu, Sarawak atau kekal di sini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penguatkuasaan, Kawalan lalu lintas, Pengurusan Saman Bukit Aman, Asisten Komisioner Zulkifli Jonit berkata, kedatangan pihaknya ke rumah balu I Suresh untuk menyerahkan sumbangan.

Katanya, sumbangan diserahkan itu dikumpulkan daripada anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

"Saya berharap sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan beban ditanggung keluarga mendiang," katanya.

Berita berkaitan:

2 anggota polis maut

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 5:09 PM