Rosli Ilham


KELINDAN lori yang ditahan selepas terbabit dalam kemalangan meragut nyawa dua anggota trafik di Kilometer 139 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Teluk Kalong di Chukai, didapati positif ganja.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim mengesahkan ujian saringan air kencing terhadap kelindan berusia 28 tahun berasal dari Hulu Terengganu positif dadah terbabit.

Menurutnya, ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori berusia 29 tahun pula didapati negatif dadah.

"Kini pemandu lori berkenaan ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala kelindannya disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam kejadian 2.55 petang itu, Sarjan Mejar Abdul Hakim Samingan, 54, dan Koperal I Suresh, 36, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun maut di tempat kejadian selepas motosikal Honda CBX750 ditunggang mereka dirempuh lori.

Dua anggota trafik berkenaan bersama tujuh pegawai dan 18 anggota lain sedang menjalani latihan konvoi terbabit dari Mersing, Johor.

Tibanya di tempat kejadian, sebuah lori dipercayai memasuki laluan konvoi terbabit lalu merempuh dua motosikal jenis Honda CBX750 yang ditunggang kedua-dua mangsa.

Berita berkaitan:

Hantar pesanan rindu isteri sebelum maut

2 anggota polis maut

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 12:35 AM