ANTARA laluan ditempuhi Rosmani ketika mendaki gunung Island Peak.
ANTARA laluan ditempuhi Rosmani ketika mendaki gunung Island Peak.
HM Digital

Petaling Jaya: “Setiap kali saya berasa penat dan putus asa, saya akan ingat anak saya cakap ‘Mama boleh buat’. Itu yang menjadi pendorong untuk saya sampai di gunung yang ketinggian 6,189 meter dari aras laut itu,” kata suri rumah, Rosmani Ahmad, 53, pendaki solo yang berjaya menakluk gunung Island Peak di banjaran Himalaya, Nepal pada Sabtu lalu.

Nenek kepada dua cucu itu berkata, dia mengambil keputusan untuk ke Nepal mendaki gunung itu selepas beberapa hari pulang daripada mendaki Gunung Kerinci, Indonesia juga bersendirian.

Katanya, dia mengambil masa 17 hari untuk menawan gunung Island Peak

“Semua pendakian yang saya lakukan adalah secara solo melainkan di Gunung Kinabalu kerana di sana tidak dibenarkan mendaki sendirian.

“Sememangnya mencabar, namun anak-anak adalah kekuatan saya,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Menurutnya, selain suami, anaknya sentiasa memberi sokongan terhadap hobi yang baru diminati sejak November tahun lalu.

Katanya, persediaan mental dan fizikal adalah perkara utama dalam melaksanakan misi pendakian solonya itu.

“Boleh dikatakan setiap hari saya bersenam dan memasuki taman di sekitar kawasan rumah saya selama dua jam. Bukan itu saja, insurans juga perlu untuk memastikan perjalanan terjamin.

“Wang yang saya habiskan (daki gunung Island Peak melebihi US$2,200 (RM9,312.44),” katanya.

Rosmani berkata, bukan saja terpaksa berhadapan dengan cuaca sejuk, ketika pendakian dia berdepan ribut dan salji.

“Risau kerana saya pulang mengikut laluan yang lebih jauh di mana saya membuat pusingan untuk turun ke Lukla. Ketika itu, saya terdengar bunyi angin kuat membuatkan telinga saya berdesing.

“Ada juga saya berhadapan dengan runtuhan ais sebaik beberapa langkah saya berjalan dari kawasan berkenaan,” katanya.

Menurut Rosmani, selain faktor cuaca, dia mengalami kesukaran apabila dua jari dan bibirnya beku ketika mendaki 15 jam tanpa henti ke puncak gunung Island Peak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 5:42 AM