Sebahagian jurulatih memandu yang mengikuti kursus pertolongan cemas di Pakatan Latihan Memandu Baling. FOTO SAFURI KAMARUDIN.
Sebahagian jurulatih memandu yang mengikuti kursus pertolongan cemas di Pakatan Latihan Memandu Baling. FOTO SAFURI KAMARUDIN.
Safuri Kamarudin

SERAMAI 50 jurulatih memandu Pakatan Latihan Memandu Baling mengikuti kursus pertolongan cemas di tempat kerja dalam persediaan awal apabila berlaku kecemasan dan kemalangan, hari ini.

Pendedahan cara menyelamat dan pertolongan cemas dilakukan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Pusat Latihan dan Ujian Memandu Kampung Haji Abas, Baling.

Pengarah Pengurusan Pakatan Memandu Baling, Mohd Asri Mat Zanu berkata, semua jurulatih diwajibkan mengikuti kursus itu kerana mereka juga bertanggungjawab apabila berkaku sesuatu kes di tempat kerja.

Beliau berkata, jurulatih memandu juga diterap dengan ilmu supaya mereka dapat membantu di peringkat awal apabila berlaku kes.

"Sebelum kita mendapat bantuan daripada hospital atau agensi penyelamat lain langkah awal kita akan membantu.

"Dulu tidak ada kursus dalam pertolongan cemas kepada jurulatih tetapi dengan kerjasama APM sekurangnya mereka turut dibekalkan dengan ilmu yang berguna," katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Baling, Mohd Faizol Ab Aziz berkata, kursus pertolongan cemas itu membuktikan pihak berkenaan peka dalam soal keselamatan.

Beliau berkata, jurulatih memandu juga perlu mempunyai ilmu untuk menyelamat kerana mereka terdedah dengan risiko di tempat kerja ketika memberi latihan kepada calon yang mengambil lesen memandu.

Katanya, pelbagai kemungkinan akan berlaku ketika sedang memberi pengajaran memandu termasuk kemalangan dan kebakaran.

"Jadi pendekatan yang mereka ambil untuk menimba ilmu disambut baik kerana mereka juga ada tanggungjawab.

"Sebagai agensi penyelamat kita terus membantu mana-mana pihak yang memerlukan perkhidmatan," katanya.

Seorang jurulatih pemandu, Mohd Fadzli Ismail,36, berkata, kursus pertolongan cemas di tempat kerja sangat berguna kerana ia dapat memberi bantuan pada peringkat awal.

"Bukan sahaja ilmu itu dapat dimanfaat di tempat kerja malah di mana sahaja termasuk di rumah.

"Saya gembira kerana terpilih dan ilmu yang diperoleh akan dimanfaat dengan sebaiknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 11:44 PM