TERUJA peserta berpeluang melakukan latihan praktikal dalam kursus terbabit.
TERUJA peserta berpeluang melakukan latihan praktikal dalam kursus terbabit.
Nurul Husna Mahmud


Peranan sukarelawan terhadap komuniti perlu diiktiraf kerana golongan berkenaan antara kumpulan barisan hadapan membantu, memberi sokongan serta bantuan kepada mangsa banjir.  Paling membanggakan, golongan ini mengenepikan komitmen hakiki mereka baik sedang bekerja atau menyantuni keluarga kerana masyarakat memerlukan bantuan tatkala bencana atau kemalangan.

Menzahirkan penghargaan kepada golongan sukarelawan ini, tarikh keramat 5 Disember diraikan sebagai Hari Sukarelawan Sedunia.  Melihat kepada tanggungjawab yang semakin besar terutama dunia menghadapi ancaman iklim dan peperangan, anggota sukarelawan termasuklah  wanita tidak gerun menyahut cabaran meningkatkan kemahiran diri agar dapat memberi khidmat berkesan. 

Itu dikongsi oleh sukarelawan Yayasan Salam, Nor Zakiah Senin lebih 22 tahun terbabit dalam misi kemanusiaan dan sosial masyarakat.  Meraikan hari belia dengan menyertai Kursus Asas Pengurusan Bencana anjuran Pasukan Tindakbalas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Hulu Langat disifatkan Nor Zakiah sebagai satu langkah penting dalam terus memberikan khidmat berkesan kepada masyarakat. 

"Secara peribadi wanita tidak ketinggalan dalam menyalurkan tenaga, wang mahupun kepakaran mereka dalam kerja sosial dan masyarakat.

"Ada kala komitmen kerjaya dan keluarga menjadi kekangan, namun banyak situasi sepanjang terbabit dalam kerja kemanusiaan, mereka tetap menyumbang meskipun dari rumah.

"Tugas belakang tabir seperti kertas kerja, iklan sebaran dan kerja grafik, mereka tidak culas membantu kerana sudah sebati dengan tugas  sukarelawan," katanya. 

Kata Nor Zakiah, pengetahuan dan kemahiran adalah penting kerana membabitkan nyawa. 

PERTOLONGAN cemas modul wajib yang mana antara SOP pentingnya adalah Resusitasi kardiopulmonari (CPR)
PERTOLONGAN cemas modul wajib yang mana antara SOP pentingnya adalah Resusitasi kardiopulmonari (CPR)

"Ilmu antara komponen penting dalam sukarelawan melaksanakan tugasan. Tidak memadai hanya bersandarkan semangat dan jiwa sukarelawan semata-mata. 

"Seperti kursus dianjurkan CDERT dengan kerjasama APM yang membuka ruang kepada sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Salam menaik taraf kemahiran sukarelawan supaya khidmat mereka lebih berkesan dalam mendepani mangsa bencana.   

"Sukarelawan kena ada inisiatif untuk tingkatkan kemahiran diri dan mendapatkan ilmu kerana ia berkait dengan risiko nyawa mereka dan individu dibantu," katanya. 

IKATAN antara modul penting dalam operasi menyelamat.
IKATAN antara modul penting dalam operasi menyelamat.

Bagi Nurulfatin Zahari,22, penyertaan dalam kursus berkenaan membantu meningkatkan keyakinan andai menyertai misi bantuan bencana suatu hari nanti. 

"Keinginan untuk menyertai aktiviti sukarelawan sudah lama tetapi masih belum berpeluang. Apabila rakan sekerja yang mempelawa untuk sertai kursus ini saya manfaatkan peluang sebagai persiapan sebelum turun ke lapangan sebagai sukarelawan. 

"Apa yang penting buat saya, mempelajari setiap kemahiran, antaranya asas pertolongan cemas dan asas melawan kebakaran bagi mendapat gambaran atau sedikit pengetahuan berguna bukan sahaja digunakan apabila bergelar sukarelawan malah dalam rutin seharian.

"Bahaya tidak diduga dan pesanan jurulatih 'lalai sesangat, menderita seumur hidup' mengingatkan saya betapa pentingnya ilmu keselamatan.

"Ia boleh digunakan untuk menyelamatkan keluarga , rakan dan juga paling penting diri sendiri," katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Ahmad Hasni Jalilah berkata, sukarelawan yang turun dengan ilmu dan kemahiran boleh memberi gerak kerja lebih efisyen dalam misi.

SEMANGAT peserta yang mengikuti latihan praktikal.
SEMANGAT peserta yang mengikuti latihan praktikal.

"Apabila sukarelawan hadir dalam kursus sebegini, mereka lebih tangkas dan cekap kerana sedia arif dengan standard atau prosedur betul dalam kerja menyelamat.

"Sukarelawan adalah entiti paling dekat dengan masyarakat dan menjadi kumpulan sokongan kepada agensi termasuklah APM apabila bencana. 

"Kursus ini setidak-tidaknya memberi pengetahuan asas dan membezakan tahap budaya kerja mereka kerana terlatih.

"Mangsa bencana juga mendapat manfaat kerana sukarelawan lebih cekap dan bijak membuat keputusan dalam keadaan mendesak," katanya.  Pihaknya berharap lebih ramai sukarelawan dapat menyertai latihan seperti ini agar gerak kerja dalam setiap misi bantuan atau bencana menjadi lebih lancar kerana ada keseragaman. 

 "Dalam misi bencana, setiap NGO ada gerak kerja atau standard operasi masing-masing. Adakalanya tidak ada keseragaman menyebabkan bantuan juga tidak dapat diagih dengan menyeluruh," katanya.  Manakala, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hulu Langat Kapten (PA) Ruslan Lok berkata, penting mewujudkan sinergi tiga peringkat bantuan iaitu meliputi bantuan kendiri, bantuan bersama dan bantuan awam.

  "Dalam pengurusan bencana sama ada pada fasa sebelum, semasa mahupun selepas, sukarelawan berkeperluan besar untuk dipersiapkan dengan pengetahuan seumpama ini agar lebih berkeupayaan bersama agensi dalam misi atau operasi akan datang.

"Sukarelawan tanpa ilmu atau sebarang latihan berkemungkinan boleh menimbulkan isu terpencil antaranya isu keselamatan diri sendiri selain mangsa bencana. 

"Atas faktor itu mereka yang dilatih sedar protokol atau prosedur wajib dipatuhi termasuklah mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau merujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana sama daerah, negeri atau pusat sebelum menjalankan misi bantuan," katanya.

PESERTA yang meraikan Hari Sukarelawan Sedunia dengan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kendiri.
PESERTA yang meraikan Hari Sukarelawan Sedunia dengan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 7:00 AM