Rumah sepasang suami isteri bersama dua anak mereka ditemui mati di dalam kediaman dua tingkat di Jalan Utama 41, Rini Residence, Mutiara Rini. FOTO BERNAMA
Rumah sepasang suami isteri bersama dua anak mereka ditemui mati di dalam kediaman dua tingkat di Jalan Utama 41, Rini Residence, Mutiara Rini. FOTO BERNAMA
Rudy Fazrunisyam Samaruidn


BERDASARKAN laporan penuh bedah siasat, tiga daripada empat beranak yang ditemui mati di dalam rumah di Jalan Utama 41, Rini Residence, Mutiara Rini, Johor Bahru petang Jumaat lalu, adalah akibat dibunuh manakala seorang lagi membunuh diri.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, bedah siasat ke atas lelaki yang juga suami mendapati punca kematian adalah akibat kesan kecederaan di leher kerana menggantung diri dengan kain doti.

Manakala, punca kematian isteri lelaki berkenaan adalah disebabkan tekanan yang signifikan pada saluran darah leher disebabkan tekapan atau tekanan objek lembut seperti bantal atau kain.

"Laporan bedah siasat turut mendapati terdapat kesan jerutan pada leher anak lelaki pasangan berkenaan yang berusia 14 tahun menggunakan tali pinggang yang ditemui di tempat kejadian.

"Manakala anak perempuan mereka berusia sembilan tahun terdapat kesan sama yang kematiannya disebabkan dijerut pada leher," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Noor Hashim berkata pihaknya yakin menyelesaikan kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, R Pubalan, 52, ditemui mati dalam keadaan tergantung di sebuah bilik di tingkat dua manakala mayat isteri mangsa, P Jeya, 46, ditemui mati dalam keadaan terbaring di atas katil berhampiran ruang tamu kira-kira 2.30 petang.

Manakala dua anak mereka ditemui mati dengan kesan jerut di leher dalam bilik berasingan di dalam rumah teres dua tingkat itu.

Berita berkaitan:

Empat beranak ditemui mati

[UPDATE] Keluarga yang baik dan peramah

[UPDATE] Mungkin tekanan perasaan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 2:26 PM