Izlaily Nurul Ain Hussein

WANITA menggantung diri di dalam bilik rumahnya di Taman Indah Heights 2, Skudai, Johor, malam tadi, selepas dipercayai mencekik leher anak perempuannya hingga mati.

Kejadian kira-kira 7 malam itu disedari suami mangsa yang baru pulang ke rumah dari tempat kerja.

Manakala, dua lagi anaknya berusia 16 dan 19 tahun juga tiada di rumah kerana keluar membeli kelengkapan persekolahan di Tampoi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Superintendan Beh Eng Lai berkata, wanita berkenaan, J Sumathi, 45, ditemui mati tergantung di sebuah bilik gimnasium di tingkat bawah rumah itu, manakala anak perempuannya, K Arthhinee, 10, maut dengan kesan cekik di leher.

Beliau berkata, tiada kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan tiada saksi bebas yang melihat kejadian berkenaan, namun siasatan mendapati tiada unsur jenayah terhadap mayat mangsa.

“Pihak ambulans dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru hadir ke lokasi kejadian dan mengesahkan mangsa maut tiga jam sebelum mayatnya ditemui akibat jerutan pada leher dan tiada kesan jenayah terhadap si mati.

“Mayatnya sudah dihantar ke HSA untuk bedah siasat dan siasatan lanjut akan diteruskan,” katanya.

Beh berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang juga suri rumah itu adalah pesakit kanser tahap empat dan sering mengadu sakit serta memberitahu tidak mahu hidup lagi kepada keluarganya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan juga diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 12:31 PM