Yasuraj memaklumkan empat beranak yang ditemui mati adalah keluarga yang baik dan peramah. FOTO Hairul Anuar Rahim
Yasuraj memaklumkan empat beranak yang ditemui mati adalah keluarga yang baik dan peramah. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ibrahim Isa


EMPAT beranak yang ditemui mati di rumah teres dua tingkat di Jalan Utama 41, Rini Residence, Mutiara Rini, Johor, 2.30 petang tadi, dikenali oleh jiran sebagai keluarga yang baik dan peramah.

Pengawal keselamatan B Yasuraj, 30, berkata, ketua keluarga berkenaan juga dikenali sebagai seorang yang prihatin dan bapa yang penyayang.

"Sejak beberapa bulan lalu, setiap hari dia akan keluar rumah kira-kira jam 10 pagi dan pulang ke rumah hampir setengah jam kemudian.

"Dia hanya akan keluar untuk membeli makanan atau mengambil anak-anaknya pulang dari sekolah malah selalu menghadiahkan saya makanan dan minuman.

"Cuma saya pelik hari ini, seharian dia tidak keluar dan pada jam 2.13 petang ada seorang lelaki datang ke pondok dan memberitahu mahu pergi ke rumahnya," katanya.

Menurutnya, dia dapat melihat lelaki itu memasuki rumah kerana rumah mangsa kurang 100 meter dari pondok pengawal keselamatan sebelum lelaki itu keluar rumah sambil menjerit meminta tolong.

Katanya, hairan dengan tindakan lelaki berkenaan, dia menemani lelaki itu ke rumah mangsa sebelum melihat wanita terbaring di atas katil bersebelahan ruang tamu tingkat bawah.

"Saya menghubungi majikan sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis.

"Saya tidak berani masuk ke rumah kerana khuatir akan mengganggu bukti dan siasatan," katanya yang bekerja di kawasan perumahan itu sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, isteri lelaki berkenaan menghidap sakit buah pinggang kritikal hingga tidak boleh makan dan minum.

Katanya, dia pernah membantu suami wanita berkenaan memasukan tiub ke tubuh wanita berkenaan yang hanya boleh meminum susu.

"Kedua-dua anak mangsa peramah dan baik, kami terkejut dengan kejadian ini," katanya.

Sementara itu, jirannya, C Kumaran, 46, berkata keluarga berkenaan berpindah ke kawasan itu sejak Disember laluselepas beberapa tahun menyewa di Taman Desa Skudai.

Menurutnya, mula-mula berpindah isterinya masih boleh berjalan tetapi beberapa bulan kebelakangan ini sakitnya bertambah buruk menyebabkannya hanya terlantar di rumah.

"Mereka sekeluarga memang baik, anak sulung belajar di sebuah sekolah menengah di taman ini manakala anak bongsu mereka di sebuah sekolah tamil taman perumahan berhampiran.

"Walaupun suaminya tidak pernah berkongsi masalah, namun sejak dua bulan ini dia kelihatan murung mungkin berdepan masalah menguruskan isteri dan perniagaannya menjual minuman keras.

"Saya diberitahu ada kematian dan pada mulanya menyangka isterinya saya yang meninggal kerana sakit sejak empat tahun lalu, namun terkejut apabila mendapati keempat-empat beranak itu maut sekaligus," katanya.

Lelaki berusia 53 itu ditemui mati tergantung di dalam sebuah bilik di tingkat atas manakala isterinya yang berusia 46, ditemui di atas katil bersebelahan ruang tamu di tingkat bawah rumah.

Anak lelakinya yang berusia 14 tahun dan perempuan berusia sembilan tahun ditemui mati dengan kesan jerutan di leher di dalam bilik berasingan.

Berita berkaitan:

Empat beranak ditemui mati

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 9:34 PM