Nurul Hidayah Bahaudin


DUA pegawai di Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan tiga kontraktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai menyeleweng serta terbabit rasuah dalam tiga projek pembaikan dan pemasangan lampu jalan.

Difahamkan, suspek dipercayai memperakui kerja pemasangan lampu di beberapa lokasi di Ampang disiapkan, bagaimanapun kerja itu sebenarnya tidak dilaksanakan.

Menurut sumber, dalam kes pertama Februari lalu, seorang penolong jurutera berusia 35 tahun dikatakan memperakui kerja penyelenggaraan yang dilakukan sebuah syarikat kontraktor elektrik berjumlah RM19,500.

"Bayaran sudah dibuat kepada syarikat kontraktor itu, namun kerja pemasangan itu tidak dilaksanakan.

"Hasil siasatan mendapati wang itu kemudiannya disalurkan kepada sebuah akaun syarikat lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan salah seorang suspek," katanya.

Dalam kes itu juga, dua individu berusia 32 tahun ditahan dan semua suspek ditahan di sekitar Klang jam 3 petang, hari ini.

Sementara itu, dalam kes kedua, seorang penolong jurutera berusia 34 tahun dikesan turut memperakui kerja siap bagi dua projek membaiki kerosakan lampu jalan di Ampang antara bulan Jun hingga November 2016.

Sumber berkata, antara bulan Oktober 2016 hingga bulan November 2016, suspek itu memperakui kerja siap berhubung projek membaiki kerosakan lampu jalan di dua lokasi yang masing-masing bernilai RM19,600dan RM19,500.

"Antara bulan Jun hingga Julai 2016 pula, penolong jurutera ini turut memperakui kerja siap berhubung pemasangan lampu jalan di sekitar Dusun Bandar Taman Kosas, Ampang yang berjumlah RM19,700.

"Kedua-dua bayaran itu sudah dibuat kepada syarikat kontraktor elektrik tetapi siasatan mendapati ia disalurkan kepada sebuah lagi akaun syarikat milik jurutera itu," katanya.

Menurutnya, dalam kes itu, seorang lagi suspek berusia 43 tahun yang turut ditahan di Klang, hari ini.

Katanya, pelbagai beg berjenama bernilai hampir RM57,000 ditemui dalam sebuah rumah milik seorang suspek.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Wan Ramli Wan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

"Semua suspek akan direman di Mahkamah Majistret Klang, pagi esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 10:58 PM