Dua kakitangan MPPG direman enam hari bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Dua kakitangan MPPG direman enam hari bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein


DUA kakitangan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) direman enam hari oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu membabitkan lebih RM1.7 juta.

Perintah reman yang berkuat kuasa hari ini sehingga 4 Mei ini dikeluarkan Majistret Noor Aisyah Ahmad bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan ke atas kedua-dua lelaki itu.

Lelaki berusia 32 dan 50 tahun itu masing-masing adalah Penolong Jurutera dan Ketua Jabatan Kejuruteraan MPPG yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 12 tengah hari semalam di pejabat SPRM Johor.

Mereka ditahan susulan tangkapan dibuat SPRM 22 April lalu terhadap dua pemilik syarikat kontraktor yang disyaki mengemukakan tuntutan palsu ke atas MPPG di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS).

Hasil siasatan awal SPRM mendapati kedua-dua lelaki bagi siasatan terdahulu berusia 43 dan 33 tahun itu bersubahat membuat tuntutan palsu berkaitan kerja menyelenggara dan membaiki sistem lampu isyarat di beberapa kawasan sekitar Pasir Gudang dan Bandar Seri Alam pada 2016 berjumlah lebih RM1.7 juta sedangkan kerja itu tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Mereka ditahan 1 tengah hari 22 April lalu di pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 12:31 PM