PELANGGAN Tesco Malaysia mengunakan kaunter pembayaran layan diri. FOTO Danial Saad
PELANGGAN Tesco Malaysia mengunakan kaunter pembayaran layan diri. FOTO Danial Saad
Zuhainy Zulkiffli


TESCO Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco Malaysia) membelanjakan RM55 juta bagi mengubah suai enam pasar rayanya supaya dapat memberi keselesaan kepada pengguna membeli-belah.

Ketika ini, sebanyak tiga pasar rayanya sudah siap yang membabitkan perbelanjaan sebanyak RM27.6 juta iaitu di Kota Bharu, Extra Penang, Jelutong dan Tanjung Pinang di Tanjung Tokong manakala tiga lagi masih dalam pengubahsuaian iaitu dua di Selangor membabitkan Tesco Setia Alam dan Shah Alam manakala satu di Johor iaitu Tesco Bukit Indah.

Pengarah Format Tesco Malaysia Sdn Bhd Corine Boudville berkata, pengubahsuaian adalah bagi memberi pengalaman baru yang memudahkan pengguna membeli-belah serta lebih banyak pilihan, malah Tesco menerima maklum balas memberangsangkan daripada pelanggan mengenai keselesaan pasar raya selepas diubah suai.

"Sejak tahun lalu sehingga Oktober, sebanyak sembilan pasar raya sudah diubahsuai, malah kami menambah lebih ramai penyewa di lot kedai bagi memberi banyak pilihan kepada pelanggan.

"Mengikut perancangan, enam lagi pasaraya Tesco akan diubah suai dan kini kita masih memilih stor yang terlibat selain kos yang akan dibelanjakan," katanya ketika ditemui ketika sesi lawatan media ke pasaraya Tesco Tanjung Pinang yang siap diubah suai selama 12 minggu sejak Julai lalu dengan kos RM9.9 juta, hari ini.

Dalam perkembangan lanjut, Tesco Tanjung Pinang turut memperkenalkan sistem kaunter pembayaran layan diri di wilayah Utara dimana Pulau Pinang menjadi negeri pertama menggunakan teknologi berkenaan.

Beliau berkata, sistem itu turut diguna pakai di tiga pasaraya Tesco berwajah baharu lain iaitu Tesco Penang, Jelutong dan Tesco Extra Sungai Dua, Gelugor.

Menurutnya, pelanggan berpeluang merasai pengalaman melakukan transaksi pembayaran berkenaan bagi pembelian 10 barangan ke bawah.

Katanya, operasi kaunter pembayaran layan diri itu akan bermula di Tesco Tanjung Pinang esok, manakala di Tesco Penang dan Tesco Extra Sungai Dua pula pada minggu hadapan dengan kos pelaburan bagi teknologi itu sebanyak RM1.3 juta.

"Sistem ini mempunyai tiga langkah mudah iaitu pelanggan perlu mengimbas barangan pilihan mereka, bungkus dan kemudian melakukan pembayaran sama ada secara tunai, debit, kad kredit atau kupon.

"Bagi sistem ini, Tesco Malaysia melaburkan sebanyak RM1.3 juta khusus bagi memudahkan pelanggan yang membeli-belah di pasar raya kami, selain ia muncul sebagai yang pertama diperkenal di Malaysia," katanya.

Sistem kaunter pembayaran layan diri itu sudah diguna pakai di Tesco IOI Mall, Putrajaya; Tesco Kepong, Kuala Lumpur dan Tesco KSL di Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 10:10 PM