Sebahagian yang hadir memberi penghormatan akhir turut mengaminkan doa. FOTO Effendy Rashid dan L Manimaran
Sebahagian yang hadir memberi penghormatan akhir turut mengaminkan doa. FOTO Effendy Rashid dan L Manimaran
Wan Asrudi Wan Hasan


ORANG ramai dan pemimpin tempatan memberi penghormatan terakhir kepada Almarhumah Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, di Istana Ar-Ridzuan, Jalan Raja Dihilir, Ipoh di sini, hari ini.

Tinjauan Harian Metro di sekitar istana mendapati, orang ramai tiba seawal 9 pagi walaupun masa lawatan untuk orang awam bermula 10 pagi.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pandu Puteri Malaysia Puan Sri Zainon Zainuddin, Ketua Pesuruhjaya Pandu Puteri Cawangan Perak Tee Huey Ghee, Timbalan Speaker DUN Perak Datuk Nasaruddin Hashim, ADUN Changkat Jering yang juga bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Turut berada di Istana Al-Ridzuan, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Almarhumah Raja Nor Mahani mangkat 5.07 petang semalam di Petaling Jaya, Selangor.

Jenazahnya dibawa pulang dan tiba di Istana Ar-Ridzuan pagi tadi untuk disemayamkan di istana berkenaan.

Jenazah Almarhumah akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar hari ini.

Baginda dimasyhurkan sebagai Raja Puan Besar Perak pada 1 Julai 2014 serentak dengan pemasyhuran Raja Jaafar Raja Muda Musa sebagai Raja Muda Perak.

Almarhumah dilahirkan pada 18 Oktober 1942 di Kuala Lumpur, berkahwin dengan Raja Jaafar pada 1970 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Raja Shah Azman, 43, dan Raja Nor Azwina, 41.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 12:19 PM