ANTARA PATI yang ditahan sebuah pengkalan haram berdekatan Sungai Chandong, Pulau Indah. FOTO Ihsan Polis Marin
ANTARA PATI yang ditahan sebuah pengkalan haram berdekatan Sungai Chandong, Pulau Indah. FOTO Ihsan Polis Marin
Iskandar Shah Mohamed


KEGIATAN tiga lelaki warga asing menjadikan sebuah pengkalan haram berdekatan Sungai Chandong, Pulau Indah, sebagai laluan keluar masuk pendatang asing (PATI) sejak tiga bulan lalu mengundang padah apabila mereka ditahan polis Marin, malam tadi.

Semua lelaki warga Indonesia yang juga tekong dan awak-awak berusia 35 hingga 46 tahun itu dikatakan cuba memasuki negara ini dengan menaiki sebuah bot pancung, pada 11.30 malam.

Mereka kemudian ditahan kira-kira 10 batu nautika dari pengkalan haram itu untuk tindakan lanjut.

Komander Pasukan Polis Marin Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemui 29 PATI warga Indonesia berusia 18 hingga 50 tahun di dalam bot itu.

"Mereka yang terdiri daripada 23 lelaki dan enam wanita itu dalam perjalanan dari negara jiran dan cuba memasuki Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan.

"Berdasarkan siasatan ke atas tiga suspek, ia kemudian membawa kepada penemuan 21 lagi PATI warga negara sama termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di sebuah pengkalan haram berdekatan," katanya.

Menurut beliau, semua yang ditahan dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kerana tinggal lebih masa dan tiada pas sah.

"Selain itu, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana menjalankan penyeludupan migran," katanya memaklumkan pihaknya turut merampas bot bernilai RM60,000 itu.

Kata Rosman, operasi itu turut disertai sepasukan pegawai dan anggota daripada bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 10:41 PM