BEN An Cheng di Mahkamah Sesyen Alor Setar. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
BEN An Cheng di Mahkamah Sesyen Alor Setar. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


BANDUAN terpaksa merengkok lebih lama dalam penjara apabila dijatuhi hukuman tambahan empat tahun penjara lagi oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas pertuduhan pilihan menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis menggunakan parang, tahun lalu.

Tertuduh, Beng An Cheng, 35, ketika ini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam diri sendiri mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bermula 19 September lalu hingga 3 November ini.

Dia mengaku bersalah sejurus dibacakan semula pertuduhan pilihan oleh jurubahasa mahkamah dalam prosiding didengar Hakim Zulhazmi Abdullah hari ini.

Mengikut pertuduhan itu dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Shahrul Nizam Kerjin, 28, dengan menggunakan senjata yang boleh menyebabkan kematian iaitu parang berhulu kayu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah tidak bernombor di Kampung Lamdin, Naka, Padang Terap pada 12.05 tengah malam 10 Disember 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman, jika sabit kesalahan.

Hakim yang menerima pengakuan bersalah Beng An kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadapnya berjalan selepas hukuman penjara yang sedang dijalani kini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Rehab Abdul Shukur memohon mahkamah memberikan hukuman berat mengambil kira fakta tertuduh menghalang dan menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas.

"Akibat kejadian itu mangsa tidak dapat bertugas dan dirawat selama enam hari di hospital," katanya.

Terdahulu, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nor Farishah Mohammad Bahar berkata, pengakuan bersalah tertuduh bukti dia sudah insaf dan memohon hukuman penjara yang ringan.

Katanya, tertuduh sebelum ditangkap bekerja sebagai penoreh getah dan mempunyai tanggungan tiga anak berusia tiga, tujuh dan sembilan tahun.

"Tertuduh juga amat sesal atas apa yang berlaku dan mahu berjumpa dengan mangsa untuk memohon maaf jika berpeluang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 11:42 PM