Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana

BOT yang membawa 12 pemancing akhirnya ditemui selamat pada kedudukan 11.6 batu nautika barat daya pelantar minyak Saint Joseph, Kota Belud, jam 5.30 petang hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Muda Maritim Zubil Mat Som berkata, pihaknya menerima maklumat dari pesawat milik PDRM mengatakan bot yang dicari berada di kedudukan 11.6 batu nautika barat daya pelantar Saint Joseph, dekat sini, jam 4.10 petang.

"Susulan itu, Kapal Maritim Berani bergerak ke lokasi berkenaan dan jam 5.30 petang, mengesahkan penemuan bot yang dilaporkan terputus hubungan jam 7.35 malam semalam.

"Semua 12 mangsa yang berada di bot itu juga selamat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zubil berkata, bot berkenaan akan ditunda balik ke Jeti APMM Kota Kinabalu di Sepanggar.

"Bot itu ada ditunda oleh KM Berani dan dijangka tiba kira-kira jam 2 pagi esok.

"Namun ia bergantung kepada keadaan cuaca," katanya.

Pada jam 7.35 malam tadi, bot pemancing membawa 12 orang terputus hubungan akibat kerosakan enjin di tiga batu nautika barat daya perairan pelantar minyak Saint Joseph, Kota Belud.

Susulan itu, APMM mengaktifkan SAR dengan menghantar KM Berani dan dibantu aset dari Pasukan Polis Marin serta sebuah pesawat milik PDRM.

Berita berkaitan:

Cari 12 pemancing terputus hubungan

Pesawat PDRM bantu cari

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 7:21 PM