Notis kaunseling dikeluarkan oleh JAHEAIK kepada seorang lelaki yang memakai seluar pendek, kelmarin. FOTO ihsan pembaca
Notis kaunseling dikeluarkan oleh JAHEAIK kepada seorang lelaki yang memakai seluar pendek, kelmarin. FOTO ihsan pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali


JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) mengeluarkan notis kaunseling kepada seorang lelaki yang memakai seluar pendek dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Panji, Kota Bharu, kelmarin.

Notis kaunseling dikeluarkan kepada lelaki berusia 30 tahun pada 10.45 malam itu menjadi tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak semalam.

Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa Undang-Undang Syariah JAHEAIK, Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata, notis kaunseling dikeluarkan kepada individu itu kerana tidak menutup aurat.

Katanya, notis dikeluarkan itu meminta individu berkenaan hadir ke sesi kaunseling oleh JAHEAIK.

"Ketika operasi itu, kita mengeluarkan sebanyak 11 notis iaitu tujuh lelaki dan empat wanita.

"Kita minta mereka hadir ke sesi kaunseling dulu dalam masa 20 hari dan jika gagal ia akan dirujuk kepada Pendakwaan Syariah Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.

"Jika didapati bersalah, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, kesalahan aurat itu dikuatkuasa sejak 1985 lagi, namun ia tidak diketahui umum.

Beliau menasihatkan kepada orang ramai atau penduduk negeri ini supaya tidak memakai pakaian tidak menutup aurat bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 4:17 PM