ANGGOTA penguat kuasa JAHEAIK menjalankan pemeriksaan di hotel. FOTO ihsan JAHEAIK
ANGGOTA penguat kuasa JAHEAIK menjalankan pemeriksaan di hotel. FOTO ihsan JAHEAIK
BERNAMA

SERAMAI 19 individu ditahan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) menerusi Op Maksiat sempena cuti Tahun Baharu Cina pada Khamis dan semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Undang-Undang Syariah JAHEAIK, Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata, ia membabitkan tujuh kes khalwat, berkelakuan tidak sopan (dua kes) dan subahat berkelakuan tidak sopan (satu kes).

Selain tangkapan, JAHEAIK turut memberikan Notis Khidmat Nasihat kepada 17 individu manakala dua lagi diberikan amaran lisan, dalam operasi bermula 6 petang Khamis dan berakhir 10 malam tadi oleh Unit Operasi JAHEAIK membabitkan kekuatan anggota seramai 15 orang.

“Kawasan sasaran ialah sekitar Kota Bharu membabitkan Dataran Ketereh, G-Orange Mall, Pasaraya Giant Tunjung, kawasan kedai Bandar Baharu Tunjung, Ban Chu Bee, Lebuhraya Pasir Mas-Salor, kawasan pantai, tepi Sungai Kelantan dan di hotel sekitar dan luar bandar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, operasi kali ini dilaksanakan berikutan ramai yang pulang bercuti ke kampung sempena cuti Tahun Baharu Cina dan ada yang mengambil kesempatan bersiar-siar bersama pasangan kekasih dan melakukan aktiviti yang tidak bermoral.

“Pendekatan yang diambil di dalam operasi ialah cuba menyekat dan mencegah perbuatan yang bertentangan dengan hukum syarak dan undang-undang syariah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 5:35 PM