Antara lelaki yang diberi notis amaran kerana berseluar pendek dalam Operasi Bersepadu di sebuah kedai di Tanah Merah, Jumaat lalu. FOTO Ihsan JAHEAIK.
Antara lelaki yang diberi notis amaran kerana berseluar pendek dalam Operasi Bersepadu di sebuah kedai di Tanah Merah, Jumaat lalu. FOTO Ihsan JAHEAIK.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Tujuh lelaki yang memakai seluar pendek paras paha diberi notis amaran oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) atas kesalahan aurat.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAHEAIK, Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata, notis itu dikeluarkan kepada mereka yang berusia belasan tahun hingga 20-an di sebuah kedai di Tanah Merah, Jumaat lalu.

Katanya, operasi bersepadu itu diadakan bersama Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tanah Merah dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

"Operasi dijalankan selepas mendapat aduan awam mengenai perniagaan shisha di situ dan hasil operasi terdapat lelaki yang mendedahkan aurat.

"Notis amaran dikenakan mengikut Seksyen 23 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 yang boleh didenda sehingga RM1,000 atau enam bulan penjara," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi itu turut menyita enam unit dapur shisha dan satu notis amaran dikeluarkan mengikut Undang-undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2009.

Mohd Fadzuli berkata, PKD juga mengeluarkan 11 kompaun mengikut kesalahan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 berjumlah RM1,900, manakala lima kompaun RM1,500 mengikut Kesalahan Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dengan nilai RM1,500.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 7:43 PM