Mohd Shukor Amin


KANAK-kanak lelaki berusia 10 tahun mereka cerita kononnya dia diculik sekumpulan lelaki gara-gara takut dimarahi keluarga kerana menghilangkan telefon bimbit di Kampung Sungai Tegar, Sabak Bernam semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, bapa kanak-kanak itu yang berusia 42 tahun membuat laporan di Balai Polis Sungai Air Tawar pada 1.30 petang semalam.

Bagaimanapun beliau berkata, hasil siasatan pihaknya tiada kes culik berlaku seperti didakwa murid darjah lima itu.

"Polis mengesahkan kes culik itu tidak wujud. Selepas soal siasat, kanak-kanak itu mengaku dia mereka cerita kononnya berlaku penculikan akibat takut dimarahi keluarga kerana menghilangkan telefon bimbit.

"Dia turut menunjukkan lokasi di mana basikalnya disembunyikan berhampiran sebuah masjid di kampung berkenaan," katanya di sini hari ini.

Semalam kanak-kanak itu mendakwa dia diculik empat lelaki yang menaiki sebuah kereta ketika bermain basikal di hadapan rumahnya.

Dia kemudian mendakwa mulutnya ditekup seorang lelaki itu menyebabkannya pengsan.

Sebaik sedar, kanak-kanak itu mendapati dia berada di sebuah rumah yang tidak diketahui lokasi.

Dia melarikan diri melalui pintu belakang sehingga sampai ke rumah rakan bapanya di Parit Baharu sebelum dihantar pulang ke rumahnya.

Selain mendakwa diculik, kanak-kanak itu mengatakan dia kehilangan telefon bimbit dan basikalnya.

Kejadian itu turut tular di laman sosial semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 8:19 PM