Hamzah Osman


SEORANG lelaki dan anak saudaranya ditahan polis kerana mereka cerita palsu berkaitan kes culik kononnya berlaku di Kampung Bukit Malut, Langkawi.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki berusia 46 tahun dan kanak-kanak 11 tahun itu ditahan pada 11 malam tadi.

Katanya, terdahulu, pihaknya menerima laporan berkaitan penyebaran video berdurasi 1 minit 44 saat kononnya seorang kanak-kanak menjadi mangsa culik.

“Kanak-kanak itu mengaku dia diculik sekumpulan lelaki menaiki van hitam sebelum berjaya melepaskan diri dan dihantar pulang oleh lelaki lain.

“Video dimuat naik di media sosial Facebook dan tular dalam aplikasi WhatsApp itu menggemparkan warganet dan menimbulkan kegusaran orang ramai,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan mendapati kanak-kanak dipercayai warga Myanmar itu hanya mereka cerita palsu bagi mengelak dimarahi keluarganya selepas pulang lewat.

“Malah lelaki dewasa dalam video itu turut membuat kenyataan mengugut untuk mengambil tindakan sendiri terhadap ‘penculik’ sambil memegang senjata berbahaya iaitu sabit.

“Siasatan juga mendapati lelaki yang menetap di Kampung Kuala Teriang di sini, adalah bapa saudara kepada kanak-kanak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, lelaki itu disiasat bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958.

“Manakala kanak-kanak terbabit disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 11:21 AM
SEORANG lelaki dan anak saudara yang ditahan polis kerana membuat kenyataan palsu menerusi video berkaitan kes culik kononnya berlaku di Kampung Bukit Malut, Langkawi. FOTO Ihsan PDRM
SEORANG lelaki dan anak saudara yang ditahan polis kerana membuat kenyataan palsu menerusi video berkaitan kes culik kononnya berlaku di Kampung Bukit Malut, Langkawi. FOTO Ihsan PDRM