KANAK-KANAK berusia 12 tahun yang mendakwa diculik dibawa ibu bapanya untuk rawatan di hospital di Serdang kerana dipercayai mengalami 'trauma' akibat kejadian itu, namun polis mengesahkan dia hanya mereka cerita kerana bermain basikal lajak. FOTO ihsan polis.
KANAK-KANAK berusia 12 tahun yang mendakwa diculik dibawa ibu bapanya untuk rawatan di hospital di Serdang kerana dipercayai mengalami 'trauma' akibat kejadian itu, namun polis mengesahkan dia hanya mereka cerita kerana bermain basikal lajak. FOTO ihsan polis.
Nor Azizah Mokhtar


BIMBANG dimarahi ibu bapanya, seorang kanak-kanak lelaki sanggup mereka-reka cerita mendakwa dirinya diculik hanya kerana dia pulang lambat selepas bermain basikal lajak di Puchong Permai, Subang Jaya, Ahad lalu.

Sumber memberitahu, kanak-kanak berusia 12 tahun itu dikatakan berjanji bersama beberapa rakan untuk bermain basikal lajak di Puchong Permai yang terletak kira-kira empat kilometer dari kediamannya di Jalan PU 9, Jumaat lalu.

Justeru, kelmarin, dia dipercayai mengayuh basikalnya bersendirian ke sana, namun rakan yang berjanji menunggu di situ tidak muncul.

“Akibat mengayuh jauh, kanak-kanak itu keletihan selain tidak mahu pulang ke rumah kerana takut dimarahi ibu bapanya kerana sudah menjelang malam.

“Dia kemudian dipercayai memperdaya seorang lelaki supaya membantu menghubungi ibu bapanya dengan alasan dia menjadi mangsa penculikan,” kata sumber.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata susulan siasatan dijalankan mendapati kanak-kanak itu keluar dari rumah tanpa pengetahuan ibu bapanya.

“Kanak-kanak itu membuat aktiviti berbasikal dalam tempoh lama (pada hari kejadian) dan oleh kerana takut dimarahi ibu bapanya, dia mengada-adakan cerita diculik.

“Kes diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan susulan) dan kanak-kanak itu diberikan amaran. Ini kerana dia masih muda dan tidak memikirkan natijah membuat laporan palsu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, satu mesej berhubung kejadian ‘penculikan’ ke atas kanak-kanak berkenaan mula tular sejak semalam dipercayai disebarkan pihak kariah masjid di kediaman keluarga kanak-kanak berkenaan kepada awam dengan tujuan sebagai peringatan.

Berikut adalah sebahagian petikan mesej yang tersebar:

“Malam tadi sekitar 9.30 malam berlaku kes penculikan anak jemaah kita saudara *******, **** di rumahnya Jalan PU 9 yang mana dua orang penculik memanjat tembok pagar dan masuk ke dalam halaman rumah ketika beliau sedang leka bermain basikal.

“Penculik menutup muka dan membawa **** keluar secara paksa bersama basikalnya melalui pintu pagar yang tidak berkunci.

“Dia dibawa masuk ke dalam van dan ada lima orang berpakaian seperti badut dalam van itu. Ketika kejadian, bapanya masih bekerja manakala ibunya berada di tingkat atas.

“Ibunya menyedari kehilangan **** setelah beliau turun ke bawah dan pintu pagar terbuka. Beliau keluar mencari di kawasan berhampiran termasuk padang berdekatan rumah.

“Usaha mencari dilakukan bersama bapanya setelah pulang dari kerja di kawasan AEON Big, Tesco, Court 1 dan Court 2. Pada jam 11.45 malam bapanya menerima panggilan telefon dari seorang lelaki bahawa **** ditemui dalam keadaan lemah, tidak bermaya dan ditinggalkan bersendirian di kawasan berhampiran Sekolah Menengah Puchong Permai,” kata mesej berkenaan.

Mesej tular itu turut memaklumkan semasa kanak-kanak itu berada di dalam van, dia ditampar beberapa kali dan ditanya latar belakang keluarga serta pendapatan bapanya sebelum ditinggalkan di kawasan gelap di Puchong Permai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 1:12 AM