PEKERJA menyiapkan pemasangan menara janakuasa NGPP yang dibina di Politeknik Merlimau.
PEKERJA menyiapkan pemasangan menara janakuasa NGPP yang dibina di Politeknik Merlimau.
Zairee Mohd Yasak


Jasin: Sekumpulan pensyarah dan penuntut Politeknik Merlimau, kini sedang giat melakukan penyelidikan bagi membina sebuah menara janakuasa hidro elektrik mudah alih dalam usaha mempelbagaikan lagi sumber tenaga boleh diperbaharui di negara ini.

Menara setinggi 42 meter atau sama dengan ketinggian bangunan 14 tingkat itu dinamakan Newtonion Gyration Power Plant (NGPP) bernilai RM2.85 juta dan dibangunkan dengan kerjasama syarikat penyedia tenaga tempatan UG Power Sdn Bhd.

Pengurus Tenaga projek itu yang juga Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Politeknik Merlimau, Mohamad Nazri Ismail berkata, pembangunan menara berkenaan turut dibiayai dana daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang dijangka siap sepenuhnya akhir bulan ini.

Beliau berkata, menara berkenaan dijangka mampu membekalkan 100 kilowatt elektrik kepada bangunan di kampus berkenaan, sekali gus menjimatkan penggunaan tenaga di Politeknik Merlimau sebanyak 15 peratus.

“Sistem ini berasaskan hukum fizik iaitu tekanan dan graviti yang ditemui Isaac Newton. Air akan dipam ke dalam takungan di puncak menara sebelum dilepaskan untuk memutarkan turbin dan menghasilkan tenaga elektrik boleh diperbaharui.

“Konsep digunakan ini sama seperti proses menjana elektrik di empangan hidro. Bagi kegunaan untuk kajian, kami bina menara dalam skala kecil sahaja, malah kemudahan ini tidak memerlukan penyelenggaraan yang kerap dan kosnya pula amat rendah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 2:40 AM