Gambar swafoto yang menjuarai pertandingan fotografi sempena sambutan bulan Kebangsaan.
Gambar swafoto yang menjuarai pertandingan fotografi sempena sambutan bulan Kebangsaan.
Gambar swafoto yang mendapat tempat kedua pertandingan fotografi.
Gambar swafoto yang mendapat tempat kedua pertandingan fotografi.
Zairee Mohd Yasak


Jasin: Muhammad Hilman Fazuli, 20, memperoleh tuah berganda apabila dinobatkan juara bagi kategori swafoto dan naib juara fotografi pada pertandingan dianjurkan sempena sambutan bulan Kebangsaan Politeknik Malaysia di Politeknik Merlimau, di sini, Selasa lalu.

Hasil kreativiti penuntut Diploma Kejuruteraan Awam Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kedah itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,700 selain piala sebagai penghargaan.

Beliau berkata, apa yang lebih mengejutkannya adalah gambar yang diambil secara spontan ketika mendaki Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah dihantar bagi kategori fotografi dipilih sebagai naib juara daripada 377 penyertaan.

“Tidak sangka penat lelah mendaki gunung setinggi 218 meter semasa cuti hujung minggu dibayar dengan kemenangan ini. Kejayaan yang diraih ini mendorong saya untuk serius dalam dunia fotografi.

“Wang tunai dimenangi akan saya kongsi bersama rakan lain yang turut mendaki Gunung Keriang kerana mereka membantu menghidupkan lagi gambar yang saya ambil,” katanya.

Sementara itu, juara kategori fotografi, Muhammad Irfan Syazwan, 20, tidak menduga gambar ala Tuanku Abdul Rahman ketika melaungkan ‘Merdeka’ yang diambil dari sudut hadapan di taman rekreasi di Shah Alam, Selangor semasa cuti pertengahan semester membuahkan hasil dengan memenangi hadiah RM1,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 3:55 AM