PEMAIN pasukan lelaki dan wanita POLISAS muncul juara Kejohanan Petanque Double Politeknik Malaysia dan IPT Pahang.
PEMAIN pasukan lelaki dan wanita POLISAS muncul juara Kejohanan Petanque Double Politeknik Malaysia dan IPT Pahang.
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Beraksi di gelanggang sendiri menjadi kelebihan kepada pasukan lelaki dan wanita Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) apabila muncul juara Kejohanan Petanque Double Politeknik Malaysia dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Pahang di gelanggang petanque POLISAS, di sini, baru-baru ini.

Kejohanan kali kelima anjuran POLISAS dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Majlis Sukan Politeknik (MSP) membabitkan penyertaan sebanyak 64 IPT awam dan swasta di Pahang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM3,400.

Kejayaan POLISAS itu menyaksikan mereka membawa pulang hadiah RM800 manakala pasukan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Perlis yang muncul naib juara menerima RM500.

Manakala Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah, Rompin masing-masing di tempat ketiga dan keempat meraih RM300 dan RM100.

Bagi kategori wanita juara POLISAS menerima RM800, naib juara Politeknik Nilai (PNS) Negeri Sembilan (RM500), ketiga Politeknik Merlimau Melaka (PMM) mendapat RM300 dan keempat PTSS Perlis (RM100).

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengarah POLISAS, Norlida Abd Razak.

Pengurus POLISAS Mat Roof Jalil berkata, persiapan dilakukan secara berterusan menjadi kelebihan sehingga berjaya merangkul kejuaraan dalam dua kategori dipertandingkan.

Katanya, beraksi di tempat sendiri sambil mendapat sokongan peminat tempatan turut menjadi kelebihan tuan rumah yang beraksi cemerlang bermula dari pusingan pertama sehingga perlawanan penentuan juara.

“Saya tidak menyangka kami mampu meraih kemenangan dalam dua kategori serentak, pencapaian itu di luar jangkaan terutama apabila terpaksa berdepan beberapa pencabar hebat seperti UNITEN.

“Kejayaan dilakar kali ini diharap menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk terus melakar pencapaian membanggakan pada beberapa kejohanan tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 9:19 AM