Kalidevi Mogan Kumarappa


TIGA kakitangan seorang Ahli Parlimen termasuk setiausaha politiknya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan imigresen.

Sumber SPRM berkata, selain setiausaha politik berusia 45 tahun itu, turut ditahan pembantu peribadi dan kerani Ahli Parlimen berkenaan.

Menurutnya, kerani dan pembantu peribadi berkenaan ditahan di sebuah restoran di Taman Maluri kira-kira jam 1.45 tengah hari, hari ini.

“Ia disusuli penahanan setiausaha politik di pejabat SPRM Kuala Lumpur kira-kira jam 8 malam.

“Tangkapan dilakukan selepas pemilik sebuah syarikat membuat aduan kepada SPRM berhubung tindakan tiga individu berkenaan meminta suapan RM55,000 daripadanya untuk menyelesaikan urusan berkaitan imigresen, " katanya.

Menurutnya, syarikat milik pengadu dikatakan pernah membawa masuk pekerja asing bertaraf buruh menggunakan kelayakan profesional dan diketahui ketiga-tiga suspek.

"Berikutan itu, mereka meminta sejumlah wang kononnya untuk menyelesaikan urusan imigresen itu, " katanya.

SPRM dijangka mendapatkan perintah tahanan reman untuk ketiga-tiga suspek pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 10:37 PM