Lapan lelaki ditahan kerana memelombong emas tanpa kebenaran di hutan simpanan kekal (HSK) di Sokor, Tanah Merah, semalam. FOTO ihsan Jabatan Perhutanan
Lapan lelaki ditahan kerana memelombong emas tanpa kebenaran di hutan simpanan kekal (HSK) di Sokor, Tanah Merah, semalam. FOTO ihsan Jabatan Perhutanan
Siti Nor Hidayatidayu Razali


JABATAN Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) menahan lapan lelaki kerana melombong emas tanpa kebenaran di hutan simpanan kekal (HSK) di Sokor, Tanah Merah, semalam.

Lapan individu berkenaan iaitu empat lelaki tempatan dan empat warga Bangladesh ditahan pada 11 pagi.

Pengarah JPNK, Datuk Zahari Ibrahim berkata, mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 48 tahun dan pihaknya turut merampas peralatan melombong emas bernilai RM100,000.

Katanya, lapan lelaki itu didapati menjalankan kerja perlombongan emas haram di kawasan itu sejak sebulan lalu.

"Mereka bekerja dengan sebuah syarikat yang sudah mendapat kelulusan, namun masih tidak mendapat lesen perlombongan emas. Kita membuat intipan selama sebulan dan mendapati mereka menjalankan kerja cari gali emas tanpa lesen.

"Anggota penguatkuasa menahan mereka untuk siasatan mengikut Seksyen 47 dan 81 Akta Perhutanan Negara kerana memasuki HSK dan mengambil hasil mineral tanpa kebenaran," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk siasatan lanjut dan peralatan melombong emas yang dirampas disimpan di Stor Barang Kes di Manar.

Katanya, siasatan masih dijalankan sama ada untuk mengambil tindakan terhadap individu yang ditahan dan syarikat yang terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 6:37 PM