GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Noorazura Abdul Rahman

Kuala Muda: Individu yang mahu melakukan aktiviti di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Kedah perlu membuat permohonan secara dalam talian melalui sistem iForest bermula 1 Jun ini.

Pegawai Kewangan negeri, Datuk Isahak Murat, berkata permohonan melalui sistem itu bertujuan mendapatkan permit memasuki HSK khususnya berkaitan rekreasi, aktiviti meredah hutan, mendaki gunung dan sebagainya.

"Kita yakin sistem yang dibangunkan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) dan Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) Kedah ini, mampu mempercepatkan proses permohonan tanpa melalui kaunter, sekali gus menjimatkan kos dan masa.

"Selain itu, ia juga membolehkan jabatan mengenal pasti jumlah pelanggan yang akan masuk ke HSK lebih awal dan membantu mengawal jumlah pengunjung yang keluar masuk setiap masa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Sistem iForest dan Sambutan Aidilfitri JPNK di Pusat Latihan Perhutanan Jeniang, di sini, semalam.

Turut hadir. Pengarah JPNK, Muhamad Abdullah.

Isahak berkata, melalui sistem itu, permohonan dan pemprosesan untuk mendapatkan permit dapat dilakukan lebih cepat, cekap dan berkesan, seterusnya menjana dan meningkatkan hasil kerajaan negeri.

"Sistem yang kita bangunkan ini adalah mesra pengguna dan mematuhi kehendak Akta Perhutanan Negara 1894 (Pindaan 1993) dan Kaedah-Kaedah Hutan 1989 Negeri Kedah.

"Sistem iForest juga bakal dimasukkan ke dalam gerbang i-Bayaq yang dibangunkan oleh BTMK untuk memudahkan bayaran secara dalam talian dilakukan seperti bayaran dilakukan kepada agensi kerajaan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 9:34 AM