Samsiah menunjukkan gambar anaknya, Ahmad Fadhil Asaari yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Samsiah menunjukkan gambar anaknya, Ahmad Fadhil Asaari yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: "Saya mengharapkan keadilan untuk anak yang kini bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) akibat koma sejak dua minggu lalu selepas dipercayai dipukul," kata Samsiah Abdullah, 60.

Samsiah berkata, anaknya Ahmad Fadhil Asaari, 33, dipercayai dipukul di sebuah rumah di Berek 12 sehingga menyebabkan kecederaan parah di badan dan juga kepala kira-kira 5 petang pada 25 September lalu.

Menurutnya, anak kelima daripada tujuh beradik itu terpaksa menjalani pembedahan membuang sebahagian tempurung kepala akibat darah beku.

Katanya, lebih menyedihkan apabila mata kiri anaknya disahkan buta akibat bebola mata pecah serta berlaku pendarahan selain lumpuh bahagian kanan badan.

"Kecederaan yang dialami anak saya amat berat dan sehingga kini belum sedar walaupun sudah hampir dua minggu mendapatkan rawatan di hospital.

"Selain itu, doktor juga memaklumkan leher anak saya terpaksa ditebuk, semalam bagi memudahkannya bernafas kerana penggunaan alat bantuan pernafasan masih belum menunjukkan sebarang maklum balas.

"Sejak anak dirawat di hospital, saya tidak pernah melawatnya disebabkan terlalu sedih melihat keadaannya terbaring kaku dan saya akan bertanya khabar Ahmad Fadhil melalui abangnya yang berulang-alik ke hospital," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pauh Badang, Jalan Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Samsiah berkata, pada hari kejadian, dia dimaklumkan anaknya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) selepas dipercayai dipukul.

"Susulan itu, suami saya, Asaari Rashid, 65, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Chepa dan berharap perkara ini mendapat keadilan," katanya.

Katanya, dia tidak menyangka kejadian itu menimpa anaknya kerana dia tidak mempunyai musuh kerana seorang yang cepat mesra dengan sesiapa sahaja.

"Saya berharap anak kembali sembuh dan ada keajaiban untuk pulih seperti biasa walaupun keadaannya parah.

"Kami sekeluarga tidak putus berdoa dan melakukan solat hajat supaya Ahmad Fadhil cepat sedar daripada koma dan menanti dia menceritakan perkara sebenar yang berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 7:09 PM