Arshad (dua dari kanan) menunjukkan gambar suspek yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes samun. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Arshad (dua dari kanan) menunjukkan gambar suspek yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes samun. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi


KUMPULAN penjenayah dikenali ‘Geng Wan’ tumpas selepas tiga ahlinya termasuk ketua kumpulan diberkas polis bulan lalu.

Semua lelaki itu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan samun bersenjata ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Tangkak, Johor dan Jasin pada 17 dan 18 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, semua suspek yang ditahan berusia antara 21 hingga 25 tahun dan kumpulan itu dikatakan mensasarkan premis yang menjalankan operasi 24 jam.

Beliau berkata, suspek ditahan dengan kerjasama pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, Johor, susulan kejadian samun di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Bemban 14 Julai lalu.

“Hasil soal siasat dilakukan kumpulan ini mendakwa terbabit dalam dua jenayah samun dan turut dianggotai seorang lagi suspek yang masih bebas.

“Hasil semakan mendapati ketiga-tiga suspek tiada rekod jenayah lampau bagaimanapun seorang lagi suspek dikenali Udin berusia 21 tahun yang diburu polis ada enam rekod lampau,” katanya pada sidang media di IPD Jasin hari ini.

Arshad berkata, ujian saringan air kencing mendapati mereka didapati positif methamphetamine.

Beliau berkata, selepas tertangkapnya suspek pihaknya tidak menerima laporan kejadian samun yang bermodus operandikan kumpulan terbabit.

“Ketiga-tiganya kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Selain itu polis giat memburu seorang lagi yang masih bebas dan memintanya menyerah diri selain orang awam yang mengenalinya diminta tampil memberi maklumat,” katanya.

Harian Metro 14 Julai lalu melaporkan, penjaga kaunter wanita berdepan detik cemas apabila diacu parang dalam kejadian samun bersenjata di sebuah stesen minyak di Bemban, Jasin.

Dalam kejadian 3.40 pagi itu, wanita berusia 23 tahun itu berada seorang diri di kaunter pembayaran minyak sebelum didatangi lelaki yang memakai topi keledar bertutup dan bertopeng.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 3:20 PM