ABDUL Majid (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan gambar kes pembunuhan di Batu Berendam. FOTO Amir Mamat
ABDUL Majid (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan gambar kes pembunuhan di Batu Berendam. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Melaka: Penemuan mayat seorang lelaki di Pangsapuri Batu Berendam, di sini, pada 7 Januari lalu, membawa kepada pembongkaran kes samun secara berkumpulan.

Mayat lelaki itu ditemui dalam Proton Perdana yang diletakkan di pangsapuri berkenaan dan dipercayai sudah meninggal dunia lebih 48 jam.

Tiada pengenalan diri ditemui bersama mayat berkenaan.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, pemeriksaan pada mayat itu menemui kesan hentakan dipercayai menggunakan senjata keras di kepala, selain terdapat luka tikaman di perut dan leher.

Beliau berkata, hasil siasatan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, berjaya menahan seorang lelaki berumur 39 tahun yang menetap di pangsapuri itu pada hari sama.

"Pemeriksaan di dalam rumah suspek turut menemui kesan tompokan darah di lantai ruang tamu dan suspek juga mendedahkan terdapat dua lagi rakan mereka yang bersubahat dalam pembunuhan itu," katanya pada sidang media di IPK Melaka di Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Abdul Majid berkata, siasatan mendapati motif awal pembunuhan adalah disebabkan pergaduhan antara mangsa dan rakan dalam kumpulan itu.

Katanya, mangsa bersama suspek serta dua lagi rakan mereka juga disahkan terbabit dalam kegiatan jenayah samun bersenjata di sebuah kedai serbaneka di Kota Laksamana, di sini pada 4 Januari lalu.

"Siasatan lanjut mendapati mangsa bersama ketiga-tiga suspek aktif melakukan samun menggunakan parang panjang sejak dua bulan lalu dengan menyasarkan kedai serbaneka 24 jam.

"Kami percaya berlaku ketidakpuasan hati antara mereka sehingga membawa kepada pergaduhan dan pembunuhan di pangsapuri berkenaan, sebelum mayatnya diletakkan dalam kereta," katanya.

Beliau berkata, selepas penahanan suspek pertama, kita berjaya memberkas dua lagi rakan mereka berusia 34 dan 42 tahun di Ipoh, Perak.

"Dua daripada tiga suspek itu mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah," katanya.

Ketiga-tiga suspek direman sehingga 18 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 3:56 PM