GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nursyahirah Marzuki


TIADA kes baru jangkitan penyakit anjing gila atau rabies dilaporkan di seluruh negara malah, ketika ini situasi wabak itu masih terkawal.

Ketua Pengarah Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, status kawalan sehingga Sabtu lalu mendapati 36,611 haiwan sudah divaksin membabitkan 28,749 anjing dan 7,862kucing.

"Pengesahan kejadian kes rabies berlaku pada 30 Jun lalu dan tiga kes disahkan pada manusia iaitu satu di Kampung Lebor dan dua kes di Kampung Paon Rimau Bakung, Serian, Sarawak.

"Jumlah keseluruhan kes positif adalah 47 kes dari 228 sampel yang sudah diuji membabitkan 25 kampung dari tiga bahagian di Sarawak iaitu Serian, Sri Aman dan Kuching," katanya.

Katanya, sehingga kini kerajaan Sarawak masih mengisytiharkan 24 kawasan diwartakan sebagai kawasan jangkitan rabies dengan 19 di Seria, satu di Sri Aman dan empat di Kuching.

"Selain itu, 838 anjing dan 38 kucing yang disyaki dijangkiti rabies 'ditidurkan' dan satu kes terakhir pada 8 September lalu mendapati satu sampel positif daripada otak anjing.

"Bagaimanapun, keadaan terkawal dan suntikan vaksin masih terus dijalankan malah, kita juga masih meneruskan pengambilan sampel otak anjing daripada kes gigitan atau anjing tidak bertuan untuk diagnosa dan survelan.

Menurutnya, 33,765 penduduk di Sarawak juga turut menyertai kempen kesedaran awam mengenai jangkitan rabies.

"Kerajaan Sarawak juga sedang membincangkan untuk mewujudkan kawasan perkhidmatan pelalian anti rabies (Immune Belt)," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, hanya satu kes rabies berlaku di Kuala Sepetang, Taiping, Perak pada 15 Julai lalu.

"Kita juga sudah melaksanakan aktiviti vaksin ke atas 369 haiwan manakala 110 ekor haiwan ditidurkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Quaza Nizamuddin berkata, syarikat Bumiputera perlu bergabung dalam mewujudkan konsortium untuk bersaing dalam industri pengimportan dan pembekalan produk daging serta ternakan di negara ini.

Beliau berkata, penubuhan konsortium ini adalah satu daripada langkah untuk membantu syarikat kecil terutama daripada segi kewangan.

"Syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh terbabit sama dalam industri ini dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bersedia menjadi pemudahcara bagi meningkatkan pembabitan usahawan bumiputera.

"Oleh itu, melalui penubuhan konsortium ini dilihat dapat membantu usahawan Bumiputera yang berhadapan beberapa kekangan antaranya pembiayaian dan tempat menyimpan daging," katanya.

Katanya, JPV tidak terbabit dalam perniagaan namun, pihaknya akan membantu dari pelbagai aspek termasuk pengimportan, fasiliti dan peminjaman melalui Agro Bank dan sebagainya.

Beliau berkata, pihaknya bersetuju dan mengalu-alukan cadangan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dalam mewujudkan konsortium yang dapat membantu Bumiputera dalam sektor pengimportan daging.

"Penyertaan Bumiputera memang perlu dipertingkatkan dan perlu ada satu jalan yang dapat membantu mereka terutama syarikat kecil untuk terus kukuh dan bersaing dengan pengusaha lain.

"Kita berperanan untuk membuat pemeriksaan terutama dari segi kualiti kesihatan dan status halal daging yang dibawa masuk ke negara ini malah, tiada sebarang halangan atau sekatan yang dikeluarkan kerajaan bagi isu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 1:29 AM