Suspek (dua dari kiri) ditahan polis untuk siasatan lanjut. FOTO ihsan polis
Suspek (dua dari kiri) ditahan polis untuk siasatan lanjut. FOTO ihsan polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


ANGGOTA polis ditahan petang ini kerana didakwa melakukan sentuhan seksual terhadap remaja lelaki, Isnin lalu.

Suspek yang berpangkat Lans Koperal itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Pinang Jawa di Kuching jam 5.30 petang hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, suspek yang berusia 33 tahun itu ditahan susulan laporan mangsa yang berusia 14 tahun di Balai Polis Batu Kawa jam 12.45 tengah malam tadi.

Menurutnya, berdasarkan laporan yang dibuat, suspek didakwa melakukan sentuhan seksual dengan di dalam keretanya kira-kira jam 1.10 tengah hari Isnin lalu.

"Suspek yang juga kenalan keluarga mangsa pada mulanya datang ke rumah dan menawarkan diri untuk menghantar remaja terbabit ke kedai kakaknya.

"Namun ketika dalam perjalanan, suspek membawa mangsa ke satu kawasan di Batu Kawa sebelum melakukan sentuhan fizikal terhadap remaja terbabit," katanya dalam kenyataan, di Kuching, hari ini.

Katanya, remaja terbabit kemudian di hantar ke kedai kakak mangsa seperti yang dijanjikan selepas kejadian.

Beliau berkata, selepas enam hari kejadian, mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Batu Kawa untuk tindakan selanjutnya dari pihak berkuasa kerana bimbang suspek mengulangi perbuatan itu terhadapnya.

"Berdasarkan laporan yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota dati Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan berjaya menahan suspek.

"Suspek bertugas di Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching esok untuk mendapatkan perintag reman," katanya.

Dev berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 8:39 PM