Kren cerucuk tumbang dan menghempap treler menyebabkan pemandu treler cedera dalam kejadian di kawasan pembinaan Jalan Klang-Banting, Kampung Johan Setia, Klang petang tadi. FOTO ihsan bomba
Kren cerucuk tumbang dan menghempap treler menyebabkan pemandu treler cedera dalam kejadian di kawasan pembinaan Jalan Klang-Banting, Kampung Johan Setia, Klang petang tadi. FOTO ihsan bomba
Faliq Lajim


PEMANDU treler berusia 30-an cedera di kepala selepas kren cerucuk tumbang dan menghempap treler dipandunya dalam kejadian di kawasan pembinaan Jalan Klang-Banting, Kampung Johan Setia, Klang petang tadi.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Alimaddia Bukri berkata, kejadian berlaku pada jam 4.50 petang tadi.

"Kami menerima panggilan jam 4.53 petang dan sembilan anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikerahkan ke tempat kejadian.

"Ketika tiba kita dapati kren berkenaan tumbang dan menghempap kepala treler dan pemandunya tersepit," katanya.

Menurutnya, mangsa yang tersepit itu berjaya dikeluarkan orang awam sebelum bomba tiba.

"Mangsa hanya cedera ringan dan diberikan rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan (EMRS).

"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 7:32 PM