Norsabrina  (kanan) menenangkan Siti Nur Amira  yang menahan sakit  sebelum dihantar ke Hospital Kulim, semalam.
Norsabrina (kanan) menenangkan Siti Nur Amira yang menahan sakit sebelum dihantar ke Hospital Kulim, semalam.
HM Digital

Kulim: Hasrat seorang perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu untuk menyertai Mesyuarat Tahunan Perwakilan Puteri UMNO semalam, terbantut selepas dia dibawa ke Hospital Kulim selepas sakit mahu bersalin.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata, kejadian berlaku jam 1.30 tengah hari apabila Siti Nur Amira Ahmad, 24, sedang makan selepas selesai majlis perasmian serentak Pergerakan Wanita, Puteri dan Pemuda UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu yang disempurnakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shahidan Kasim di Dewan Bandaran Kulim.

Menurutnya, Siti Nur Amira ahli Puteri UMNO Cawangan Gunung Bongsu dan mengandung anak sulung.

“Pagi tadi (semalam), ketika Siti Nur Amira sampai di dewan untuk mendaftar kehadiran, saya lihat perutnya lain dan menasihatinya supaya berehat di rumah.

“Saya kata perut dia seperti sudah turun ke bawah lebih baik berehat di rumah namun Siti Nur Amira kata dia tidak sakit dan bersemangat untuk bermesyuarat.

“Namun ketika sedang makan, tiba-tiba dia sakit perut seperti ingin melahirkan anak dan terus dibawa ke Hospital Kulim oleh kakitangan pusat khidmat Ahli Parlimen,” katanya.

Menurut beliau, Siti Nur Amira ditemani ahli Pergerakan Wanita UMNO Cawangan Gunung Bongsu dan pihaknya berdoa supaya wanita itu serta anaknya selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 8:07 AM