Mahdzir
Mahdzir
myMetro

Kuala Lumpur: Sebanyak 90 peratus daripada 2,273 graduan kohort pertama kolej vokasional (KV) dari 15 KV rintis mendapat pekerjaan mengikut bidang dipelajari, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, bagi kohort kedua, 41.74 peratus daripada 12,997 pelajar KV bekerja walaupun belum melalui konvokesyen.

“Pencapaian ini menunjukkan pelajar KV mempunyai kemahiran dan diiktiraf pihak industri,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang ingin tahu mengenai kebolehpasaran lulusan KV dan status pengiktirafan diploma KV pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Mahdzir berkata, pengiktirafan program pengajian diploma KV oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam proses verifikasi dan penilaian oleh MQA.

“Pihak kementerian menyasarkan memperoleh akreditasi penuh pada Disember 2017,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga berbincang secara intensif dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan pelajar lepasan diploma KV diberi peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Bagi kohort 2012 hingga 2016, pelajar lepasan diploma KV layak memohon memasuki universiti awam dan swasta seperti surat kelulusan yang dikeluarkan KPT,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 10:00 AM