BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menolak dakwaan bahawa institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan tidak mengiktiraf graduan Diploma Vokasional Malaysia.

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, graduan kolej vokasional (KV) boleh melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda melalui dua kaedah.

Pertama, menggunakan sijil Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) yang merupakan proses pengkreditan pengalaman terdahulu daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Kedua, graduan KV boleh memohon jika mempunyai kelayakan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) yang disetarakan Lembaga Peperiksaan kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Melalui kaedah itu graduan KV disyaratkan mempunyai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Akademik 3.33, PNGK Vokasional 3.67, Kepujian Bahasa Melayu (1104) dan kompeten dalam semua Modul Vokasional serta mendapat kelulusan khas Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sehingga akreditasi penuh program diploma diperoleh.

“Graduan KV sudah menerima pengiktirafan daripada industri dan 83.1 peratus mendapat pekerjaan mengikut bidang dalam tempoh tiga bulan selepas graduasi," kata kenyataan itu.

Menurut KPM, Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) yang dilaksanakan pada 2013 bertujuan mengarus perdanakan pendidikan vokasional setanding dengan aliran pendidikan perdana.

Matlamat TPV melahirkan tenaga kerja separuh mahir dan mahir dengan sasaran 70 peratus ke pasaran kerja, 20 peratus melanjutkan pelajaran dan 10 peratus menjadi usahawan.

Sebelum ini, MQA turut menjelaskan pelajar lepasan KV yang memiliki Diploma Vokasional Malaysia boleh memohon kemasukan ke IPT seluruh negara menerusi laluan teknikal dan vokasional.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 10:55 PM