Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur bakal mengeluarkan diploma dan ijazah yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) kepada pelatihnya menerusi Pelan Transformasi Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) 2016 hingga 2020.

Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Bukit Aman Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, menerusi pelan selama lima tahun itu, pihaknya merancang menjadikan Maktab PDRM Kuala Lumpur sebagai pusat kecemerlangan pembelajaran terulung dalam bidang kepolisan setara universiti dan berkelas dunia.

“Untuk itu, Maktab PDRM berkolaborasi dengan MQA untuk membangunkan kursus khas dengan tenaga pengajar daripada pegawai kanan PDRM bagi mengeluarkan sijil diploma dan ijazah sendiri.

“Mereka dilatih dengan kaedah dan teknik mengajar bagi mendapat pengiktirafan serta boleh melatih atau mengajar kursus sesuai.

“Menerusi pelan itu juga pelbagai kursus berkaitan kepolisan dirancang untuk ditawarkan antaranya forensik dan pengurusan krisis,” katanya pada sidang media majlis Pelancaran Pelan Strategi Inovatif Transformasi Sistem dan Budaya Pengajaran dan Pembelajaran 2016-2020 (P&P) dan Perasmian Galeri dan Gimnasium Maktab PDRM Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Zulkifli berkata, buat masa ini pihaknya bekerjasama dengan beberapa universiti awam tempatan bagi mengeluarkan diploma dan ijazah sebelum mendapat pengiktirafan daripada MQA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 4:51 AM