Ahmad Zahid berucap di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Langat di MARA Japan Industrial Institute. FOTO Khairull Azry Bidin
Ahmad Zahid berucap di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Langat di MARA Japan Industrial Institute. FOTO Khairull Azry Bidin
Mohd Nasif Badruddin


TIMBALAN Perdana Menteri mengingatkan pemimpin parti supaya menguasai minda dan hati pengundi kawasan masing-masing.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin setempat perlu turun bertemu rakyat setiap masa dan bukan hanya menunjukkan muka apabila ada pemilihan parti.

"Tahun depan tengok, apabila ada pemilihan parti, ramai akan turun tanya khabar.

"Pemimpin ini ada ke tak pemilihan turunlah bertemu rakyat, tanya khabar mereka," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Langat di MARA - Japan Industrial Institute di Beranang hari ini.

Hadir sama, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat Datuk Johan Abdul Aziz.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata, pemimpin parti di Selangor perlu sedar mereka adalah pembangkang di negeri itu dan harus berusaha kuat merampas kembali tampuk kepimpinan kerajaan negeri.

Katanya, pemimpin dan ahli UMNO harus membuang mentaliti seolah-olah mereka masih lagi menjadi kerajaan dan berada dalam keadaan selesa.

"Sebanyak 70 peratus pengundi luar bandar bekerja di bandar dan mereka terpengaruh dengan minda bandar.

"Jadi DNA UMNO belum tentu akan undi UMNO," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 3:36 PM