Helmy Abd Rahman


SEBANYAK 50 lagi kamera AES akan dipasang di seluruh negara menjadikan 71 keseluruhannya menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Nadzri Siron berkata, pemasangan AES melalui Sistem Kesedaran Keselamatan Automatik (AWAS) itu akan dipasang di lokasi di persimpangan lampu isyarat yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan.

"Langkah pemasangan kamera ini sudahpun dipersetujui kerajaan untuk meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat.

"Ini juga langkah yang diyakini dapat menangani serta mengurangkan kes kemalangan terutama membabitkan kematian," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pembukaan dan Perasmian Kursus Kecemerlangan serta Sukan JPJ 2017 di Pusat Konvensyen Duyong Marina Resort di sini, malam ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan Pengarah JPJ Terengganu Abdul Rahman Emang Anyie.

Mengulas lanjut, Nadzri berkata, kes kemalangan disebabkan kegagalan mematuhi lampu isyarat yang semakin meningkat menyebabkan pihaknya memberi lebih tumpuan terhadap penguatkuasaan kesalahan itu.

"Kita sudah mulakan Ops Lampu Merah sejak 12 Julai lalu kerana kita dapati ramai penunggang motosikal khususnya tidak mematuhi lampu isyarat dan sebahagian besar kemalangan maut berpunca daripada kesalahan ini.

"Sehingga bulan ini sahaja, seramai 300 penunggang motosikal maut dan 299 lagi cedera kerana tidak mematuhi lampu isyarat," katanya.

Menurutnya, sepanjang Ops Lampu Merah dijalankan 12 hingga 20Julai lalu, sebanyak 1,492 saman dan 223 temu siasat menerusi penyamaran bergambar dikeluarkan.

"Sebanyak 1,504 tindakan diambil ke atas penunggang motosikal, kereta (420), bas (sembilan), kenderaan perdagangan (99) dan lain-lain (701)," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nadzri berkata, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan wujud komplot atau cubaan menjatuhkan beliau sebagai Ketua Pengarah JPJ berhubung kes pecah masuk pejabatnya di Putrajaya, 13 Julai lalu.

Beliau turut menafikan kejadian berkenaan ada kaitan dengan kes Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Yusof Ayob yang didenda RM600 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya Selasa lalu, kerana kesalahan memandu di lorong kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2017 @ 12:59 AM