MANGSA memanjat bahagian tebing untuk cuba masuk melalui pintu belakang sebelum terjatuh. FOTO Adnan Ibrahim
MANGSA memanjat bahagian tebing untuk cuba masuk melalui pintu belakang sebelum terjatuh. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim

PENOLONG pegawai perubatan maut terjatuh dari tingkat tiga ketika cuba panjat masuk melalui pintu belakang selepas tertinggal kunci di kuarters kediaman Penjara Simpang Renggam, Kluang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Muhamad Laham berkata, kejadian yang berlaku pada 3.45 petang itu menyebabkan Muhamad Fahmi Abd Ghani, 25, parah di kepala.

Katanya, Muhamad Fahmi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Klinik Simpang Renggam sebelum dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat.

“Menurut saksi, mangsa memanjat bahagian tebing belakang rumahnya untuk masuk melalui pintu belakang namun hilang imbangan dan terjatuh.

“Beberapa jiran yang menyaksikan kejadian itu turut bergegas untuk membantu menyelamatkan mangsa dan menghubungi pasukan perubatan," katanya.

Mangsa tinggal seorang diri dan masih bujang.

Jenazah dituntut oleh keluarganya yang berasal dari Muar selepas selesai proses bedah siasat untuk pengebumian di kampung halamannya, lewat petang semalam.

“Kes dikategorikan sebagai mati mengejut namun siasatan lanjut dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 2:31 PM