Yusmizal Dolah Aling


PERSATUAN Doktor Islam Malaysia (PERDIM) yakin keputusan bedah siasat terhadap jenazah Mohammad Thaqif Amin Mohd Gaddafi dibuat berdasarkan piawaian semasa serta mengikut tatacara sedia ada.

Presidennya Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, proses bedah siasat dijalankan KKM termaktub dalam Kanun Prosedur Jenayah, Garis Panduan Bedah Siasat Mayat Di Hospital dan Akta Tisu Manusia 1974.

Katanya, umum perlu mengetahui, sewaktu bedah siasat dijalankan, hanya pakar perubatan forensik dibantu pegawai perubatan dan kakitangan forensik boleh berada dalam ruang bedah siasat .

"Dalam kes Mohamad Thaqif ini, hasil bedah siasat perlu diserahkan kepada pihak polis kerana ia adalah bahan bukti di mahkamah.

“Perlu juga dikongsi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberikan gambaran 90 peratus pesakit yang dijangkiti memberikan gambaran simptom ringan manakala 10 peratus akan menunjukkan simptom lebih berat.

"Menerusi pengalaman, PERDIM berpendapat, dalam kes ini, ia tergolong dalam 10 peratus yang boleh dikategorikan

sebagai ‘Weila Disease’ iaitu kerosakan organ dalaman seperti buah pinggang dan hati, pendarahan dan radang selaput otak.

Katanya, leptospirosis mempunyai dua fasa iaitu fasa akut yang menunjukkan gejala ringan seperti demam, sakit kepala dan sakit perut yang boleh berlangsung antara tiga hingga tujuh hari dengan gejala penyakit boleh hilang.

Dr Ahmad Shukri berkata, fasa kedua yang kronik akan timbul jika kuman gagal dibunuh oleh sistem pertahanan tubuh dan kuman leptospirosis akan berkembang biak dalam cairan tulang belakang serta darah.

“Leptospirosis kronik ada gejala khas yang mirip dengan keadaan punca kematian adik Mohammad Thaqif.

“Kita berharap tidak akan timbul pelbagai pendapat dari mereka yang bukan dalam bidang perubatan kerana ia boleh memberikan persepsi salah," katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 7:52 PM