MOHAMED Nazri
MOHAMED Nazri
BERNAMA

Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia yang menginap di hotel bertaraf tiga bintang dan ke bawah tidak dikenakan Cukai Pelancongan yang akan dilaksanakan 1 Ogos ini.

Turut dikecualikan cukai berkenaan ialah pelancong asing yang sudah membuat tempahan penginapan dengan ejen pelancongan di negara ini untuk tempoh hingga 31 Mac 2018.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kelonggaran untuk warga tempatan menunjukkan timbang rasa kerajaan terhadap golongan kurang mampu.

“Ini (pengecualian) bermakna, hanya mereka yang menginap di hotel bertaraf empat dan lima bintang sahaja dikenakan Cukai Pelancongan.

“Mereka ini adalah golongan berduit dan perlu dikenakan cukai manakala mereka yang menginap di hotel murah, biasanya golongan berpendapatan rendah tidak perlu membayar cukai,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Pelaksanaan Cukai Pelancongan secara automatik untuk penginapan di hotel mengikut bintang dengan kadar antara RM2.50 hingga RM20 sepatutnya dilaksanakan 1 Julai lalu, bagaimanapun ditangguhkan kepada 1 Ogos.

Sebelum ini, sesiapa saja yang menginap di hotel di negara ini akan dikenakan Cukai Pelancongan mengikut taraf dan pengelasan bintang hotel didiami.

Mengulas lanjut, Nazri berkata, pengecualian untuk pelancong asing hanya sementara hingga 31 Mac 2018 kerana mereka sudah membuat tempahan awal.

“Selepas 31 Mac 2018, semua pelancong asing yang menginap di hotel negara ini akan dikenakan Cukai Pelancongan. Langkah ini tidak akan menjejaskan kemasukan pelancong ke Malaysia, kerana jumlah cukai kecil bagi mereka dan mampu dibayar oleh golongan ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pengecualian dilakukan dengan kuasa Menteri, yang tertakluk di bawah Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017 yang dibentangkan di Parlimen, April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 4:51 AM