Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur: Penantian penuh sabar dua anggota trafik yang melakukan intipan sejak tiga hari lalu berbaloi apabila mereka berjaya menumpaskan sindiket dadah yang bergiat aktif menggunakan kenderaan klon.

Dua anggota polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur itu dikatakan menjalankan tugas risikan di hadapan sebuah hotel di Taman Wahyu, di sini, selepas menemui sebuah kenderaan model Toyota Wish dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Timbalan JPST Kuala Lumpur, Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya kemudian melakukan serbuan kira - kira jam 12. 30 tengah hari semalam sebaik melihat seorang lelaki tempatan keluar dari hotel itu dan membuka pintu kenderaan.

Katanya, sebaik ditahan suspek mengaku kenderaan itu milik rakannya yang menginap bersama di hotel sama.

“Anggota polis kemudiannya membuat pemeriksaan pada kenderaan itu dan mendapati ia adalah kenderaan lupus Singapura yang menggunakan identiti palsu.

“Pemeriksaan ke atas suspek pertama itu turut menemui dua paket berisi dadah syabu di poket hadapan bajunya, ” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, polis turut menahan rakan suspek pertama iaitu pemilik kereta klon yang didapati turut keluar dari pintu hotel sambil membawa dua beg berwarna hitam.

“Pemeriksaan di dalam beg hitam dibawa suspek kedua itu membawa kepada penemuan 15 picagari, dua jarum picagari, empat paket disyaki dadah heroin, lapan paket kristal dipercayai dadah syabu selain wang tunai melebihi RM1,500,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2017 @ 8:27 AM
SUSPEK berjaya ditahan dalam serbuan di sebuah hotel.
SUSPEK berjaya ditahan dalam serbuan di sebuah hotel.
ANGGOTA polis menunjukkan hasil rampasan.
ANGGOTA polis menunjukkan hasil rampasan.