ANGGOTA polis trafik membuat pemeriksaan terhadap kereta klon milik lelaki warga Nigeria.
ANGGOTA polis trafik membuat pemeriksaan terhadap kereta klon milik lelaki warga Nigeria.
Nurul Hidayah Bahaudin


Serdang: Seorang lelaki warga Nigeria ditahan polis ketika sedang bersiar-siar dengan memandu kereta klon di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, suspek berusia 27 tahun ditahan sepasukan anggota polis trafik diketuai Asisten Superintendan Nurakmal Firdauz Akmal yang melakukan sekatan jalan raya di lokasi berkenaan pada jam 1.50 pagi.

Menurutnya, tindakan suspek memandu kereta model Toyota Camry dalam keadaan mencurigakan menyebabkan anggota polis trafik bertugas menahan lelaki itu untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan lanjut pada casis mendapati kereta berkenaan adalah kereta klon.

“Siasatan lanjut mendapati pemilik asal kenderaan itu berada di Johor,” katanya.

Megat berkata, pihaknya sudah menghubungi pemilik asal kenderaan itu bagi memaklumkan kewujudan kereta klon yang menggunakan nombor pendaftaran sama.

“Pemilik kereta sebenar di Johor kemudian memberikan gambar kereta miliknya bagi membantu siasatan polis.

“Suspek dan kereta klon berkenaan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 3:41 AM