Siti Fatimah Hassan


PROJEK Aliran Transit Massa (MRT) Fasa Kedua dari Semantan ke Kajang berjalan mengikut jadual apabila ia kini sudah 99 peratus siap sebelum dilancarkan pada 17 Julai ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, tren berkenaan ketika ini di peringkat ujian bagi memastikan operasinya berjalan lancar nanti.

"Kita sedang rancak melakukan persiapan iaitu dengan melakukan pelbagai ujian ke atas tren bagi memastikan pergerakannya tidak mengalami sebarang kecacatan.

"Sehingga kini, boleh dikatakan ia sudah 99 peratus siap. Insya-Allah, ia akan beroperasi pada 17 Julai ini," katanya ketika ditemui di Majlis Penghantaran Kapten Tren Haji Al Mashaaer Al Mugaddasah Metro Southern Line (MMMSL) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini memilih tarikh unik 17 Julai 2017 sebagai tarikh istimewa bagi pelancaran operasi fasa kedua itu membabitkan laluan sejauh 30 kilometer (km).

Pelancaran itu akan melengkapkan jajaran Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51km.

Terdahulu, Prasarana menghantar seramai 49 orang pemandu tren bagi kumpulan kedua yang akan bertugas mengendalikan perkhidmatan tren haji MMMSL pada musim haji nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2017 @ 3:00 PM
Azmi (dua dari kanan) memberikan kata-kata semangat kepada kapten dan petugas MMMSL. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Azmi (dua dari kanan) memberikan kata-kata semangat kepada kapten dan petugas MMMSL. FOTO Fariz Iswadi Ismail