Pembantu Pendaftar JPN keluar dari kamar mahkamah selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini, atas pertuduhan membuat kad pengenalan palsu. Foto Khairull Azry Bidin
Pembantu Pendaftar JPN keluar dari kamar mahkamah selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini, atas pertuduhan membuat kad pengenalan palsu. Foto Khairull Azry Bidin
Norasikin Daineh


PEMBANTU Pendaftar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini, atas pertuduhan membuat kad pengenalan palsu.

Tertuduh, Safiah Alijang, 53, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Menurut pertuduhan, Safiah dituduh melakukan kesalahan itu pada 22 Mei 2013, 3.05 petang di JPN Cawangan Pitas.

Tertuduh didapati dengan curangnya membuat suatu surat palsu iaitu kad pengenalan bernombor 991207-12-5135 atas nama Muhamad Daniel Hafiez bin Arif @ Jali yang mana dokumen itu dikeluarkan bukan kepada pemilik sebenar.

Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 463 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama, sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan 6 September depan untuk pengurusan kes dan memerintahkan tertuduh membayar sebanyak RM6,000 wang jaminan termasuk RM4,000 deposit.

Tertuduh juga diarahkan supaya melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua bulan sekali.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Faliq Basirudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 4:10 PM