PENUNTUT dan warga MSU yang menjayakan program Negaraku Showcase 2018.
PENUNTUT dan warga MSU yang menjayakan program Negaraku Showcase 2018.
Redzuan Muharam

Sambutan Hari Kebangsaan ke-61 Management & Science University (MSU) dimeriahkan dengan program Negaraku Showcase 2018 yang dianjurkan melalui Fakulti Sains Maklumat dan Kejuruteraan dengan kerjasama Jabatan Grafik dan Sains Media.

Program itu menyaksikan penyertaan 400 penuntut yang terbabit dalam menghasilkan pelbagai karya kreatif berkaitan sambutan kemerdekaan mengikut topik khusus seperti sejarah reka grafik, sejarah multimedia, teori warna, ilustrasi digital, ilustrasi seni permainan dan reka bentuk kartun serta komik.

Mereka terdiri daripada penuntut tahun satu hingga akhir bagi program Asasi Seni Visual, Diploma Multimedia, Diploma Reka Bentuk Grafik, Diploma Reka Bentuk Permainan dan Animasi, Diploma Video Kreatif dan Fotografi, Ijazah Sarjana Muda Media Baru dan Ijazah Sarjana Muda Multimedia Kreatif.

Pengarah program yang juga Pensyarah Fakulti Sains Maklumat dan Kejuruteraan Abdullah Pirus Leman berkata, Negaraku Showcase 2018 adalah aktiviti tahunan yang diadakan sejak 2016 sempena bulan kemerdekaan.

Katanya, matlamatnya adalah untuk menyemarakkan rasa cintakan negara dan mengajak penuntut memperingati pengorbanan pejuang kemerdekaan dan pemimpin terdahulu dengan cara yang kreatif.

ANTARA karya yang dihasilkan penuntut sempena program Negaraku Showcase 2018.
ANTARA karya yang dihasilkan penuntut sempena program Negaraku Showcase 2018.

“Acara ini adalah kesinambungan program terdahulu iaitu United People of Malaysia sebelum digantikan dengan nama Negaraku Showcase 2018.

“Tahun ini bertambah meriah dengan penyertaan lebih ramai penuntut yang mempamerkan karya bertemakan patriotik dalam bentuk lukisan dan fotografi.

“Ada yang menghasilkannya secara individu dan tidak kurang juga berkumpulan namun paling penting, matlamat program sampai, katanya.

Penuntut semester satu Diploma Reka Bentuk Grafik, Nazirul Fahmi Adnan, 22, berkata, dia menyertai program berkenaan secara sukarela kerana menganggap ia platform terbaik bagi menunjukkan rasa cinta terhadap negara.

Bagi menepati tema yang ditetapkan, dia menghasilkan lukisan bermotifkan bunga raya pada kerusi untuk mencari kelainan.

“Untuk pameran ini, saya cuba hasilkan sesuatu yang minimalis tetapi masih mengekalkan elemen patriotik. Sebab itu, motif bunga raya dipilih dan saya mengambil masa kira-kira empat hari menyiapkannya. Rasa puas apabila melihat hasilnya dan lebih seronok apabila dapat mempamerkan karya sendiri di pameran ini,” katanya.

PENUNTUT melihat karya dihasilkan peserta program Negaraku Showcase 2018 dengan lebih dekat.
PENUNTUT melihat karya dihasilkan peserta program Negaraku Showcase 2018 dengan lebih dekat.

Sementara itu, penuntut semester satu Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Permainan dan Animasi, Muhammad Ramadhan Fitri Mohd Hazani, 21, pula menghasilkan lukisan siluet askar, kapal perang, jet pejuang dan kereta kebal dengan latar belakang Jalur Gemilang di atas kanvas.

Katanya, dia mengambil masa dua hari saja untuk menyiapkan lukisan berkenaan yang diberi tajuk Tanah Tumpahnya Darahku.

“Karya ini saya dedikasikan khas untuk warga tentera terutama ayah dan abang yang masih berkhidmat dalam unit beruniform itu.

“Bagi saya, sumbangan mereka amat besar dan perlu diberi penghargaan terutama oleh generasi muda yang kini bertuah kerana dapat mengecapi nikmat selepas kemerdekaan,” katanya yang juga anak bongsu daripada tiga beradik.

MUHAMMAD Ramadhan Fitri dedikasikan lukisan dihasilkan untuk warga tentera terutama ayah dan abangnya.
MUHAMMAD Ramadhan Fitri dedikasikan lukisan dihasilkan untuk warga tentera terutama ayah dan abangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 4:00 AM